Wang AS$2.7 billion bayar hutang, dipindah kepada akaun berasingan - Saksi - Utusan Malaysia

Wang AS$2.7 billion bayar hutang, dipindah kepada akaun berasingan – Saksi

najib
NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu, sejumlah AS$2.7 billion telah dimasukkan ke dalam akaun 1Malaysia Development Berhad Global Investment Limited (1MDB GIL) sebuah bank di Switzerland untuk membayar hutang serta dipindahkan ke dalam beberapa akaun berasingan.

Bekas Ketua Pegawai Kewangan (CFO) 1MDB, Azmi Tahir, 48, berkata, daripada jumlah itu, kira-kira AS$205 juta didermakan kepada dua pertubuhan kebajikan atas arahan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, sejumlah AS$100 juta diberikan kepada Kelab Kebajikan 1Malaysia Pulau Pinang manakala AS$105 juta disalurkan kepada Yayasan Rakyat 1Malaysia di antara 23 Mac 2013 dan 2 Mei 2013.

Menurut saksi pendakwaan ke-12 itu, kedua-dua derma tersebut disumbangkan atas arahan bekas Ketua Setiausaha Sulit Najib, Allahyarham Datuk Azlin Alias yang diyakini beliau adalah arahan bekas Perdana Menteri.

Azmi berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksi setebal 127 muka surat pada perbicaraan rasuah dan pengubahan wang haram dana RM2.3 bilion milik 1MDB yang dihadapi Najib.

Azmi juga memberitahu, AS$2.7 billion dipindahkan ke dalam beberapa akaun untuk membayar hutang di antara Mac 2013 dan September 2013.

Menurut beliau, sebahagiannya dipindahkan kepada beberapa entiti antaranya Enterprise Emerging Markets Fund atau EEMF (AS$414.8 juta), Cistenique Investment Fund (AS$379.6 juta) dan Devonshire Funds Ltd. (AS$586.9 juta).

Selain itu, Brazen Sky (AS$3.3 juta), Pacific Harbour Global Growth (AS$126.7 juta), Standard & Poor’s Singapore Pte. Ltd. (AS$1.15 juta), Linklaters Singapore Pte. Ltd. (AS$1.5 juta) dan Corporate Trust Services (AS$62.3 juta).

Tambah beliau, selain itu, AS$791.8 juta dipindahkan kepada 1MDB untuk pembelian tanah di Ayer Hitam dan bagi membayar hutang lain.

Najib, 67, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya