PUTRAJAYA: Kajian pengesanan virus Covid-19 di dalam sistem pembetungan di sekitar Lembah Klang mendapati, tiada isyarat positif dikesan daripada sampel air sisa yang lengkap dirawat.
Kementerian Alam Sekitar dan Air memaklumkan, ia menunjukkan sistem rawatan sedia ada di loji rawatan kumbahan (LRK) adalah berkesan dan tidak mencemari sumber air di Malaysia.
Katanya, hasil kajian itu dilaksanakan kementerian melalui Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM); Indah Water Konsortium (IWK) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Teknologi Delft, Belanda.
Kajian yang dilaksanakan bermula April tahun lalu itu bertujuan menjalankan penyelidikan bagi pengesanan virus Covid-19 di dalam sistem pembetungan di sekitar Lembah Klang untuk melihat kehadiran fragmen RNA virus Covid-19 dalam sisa kumbahan sebagai indikator pengesanan wabak dalam sesebuah komuniti.
“Analisis makmal Reverse Transcriptase-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) yang telah dijalankan berjaya mengesan fragmen virus RNA daripada sampel air kumbahan yang tidak dirawat (influen dan enapcemar).
“Nilai ambang kitaran yang diperoleh menunjukkan kadar kebolehjangkitan yang rendah. Ujian kultur sel oleh Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan, Sungai Buloh mengesahkan virus ini tidak berupaya menjangkiti manusia melalui air kumbahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan kementerian, penjujukan genom turut dijalankan untuk melihat taburan varian yang ada di dalam komuniti seperti varian beta dan delta.
Jelasnya, kajian berkenaan penting untuk memastikan sistem pembetungan awam berfungsi dengan baik dan berupaya menghalang penyebaran Covid-19 melalui sistem pembetungan awam di Malaysia.
Selain itu, KASA mengalu-alukan kerjasama dengan semua pihak iaitu penyelidik dan pihak-pihak yang berkepentingan dalam menjalankan sebarang kajian berkaitan virus Covid-19 dalam sistem pembetungan.