SEREMBAN: Mahkamah Majistret di sini hari ini menetapkan 9 dan 10 Februari 2022 untuk memulakan perbicaraan kes dadah melibatkan selebriti sensasi, Zarina Anjoulie pada Jun lalu.
Tarikh tersebut ditetapkan oleh Majistret, Mohd. Firdaus Salleh selepas peguam yang mewakili selebriti itu, Ahmad Faiz Munawar memohon perbicaraan dimulakan tahun depan.
Terdahulu, Zarina atau nama penuhnya, Zarina Anjoulie Mohamad Fahizul, 34, tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Seremban pada pukul 8.40 pagi dengan berpakaian jubah lengkap dengan selendang hitam bersama peguamnya.
Pada prosiding itu, pihak pembelaan memaklumkan bahawa mereka belum menghantar repsentasi kepada Jabatan Peguam Negara.
“Bagaimanapun, kami tidak mempunyai masalah untuk memulakan perbicaraan,” katanya.
ZARINA Anjoulie hadir di Kompleks Mahkamah Seremban di sini hari ini bagi sebutan semula kes dadah melibatkannya.- VIDEO/NOR SHAFAWATI YUP
Pada 13 September lalu, Zarina Anjoulie didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan menggunakan dadah jenis Methamphetamine pada Jun lalu.
Mengikut pertuduhan, Zarina Anjoulie yang mempunyai pengaruh di media sosial Instagram didakwa menggunakan dadah jenis Methamphetamine dan air kencingnya didapati positif dadah jenis tersebut.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya. – UTUSAN ONLINE