PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak menggesa negara lebih berwaspada dalam membendung Varian Omicron yang sudah menyebar ke negara lain di luar Afrika.
Katanya, pemantauan sempadan sementara dan kawalan sempadan perlu diperketatkan sementara santis dunia sedang membuat kajian berhubung varian baharu Covid-19 itu.
“Varian Omicron menyebar ke banyak negara di luar Afrika, makin dekat dengan Malaysia. Malaysia perlu lebih waspada dan ketatkan kawalan serta pemantauan sempadan sementara waktu saintis dunia buat kajian berhubung varian ini.
“Pada masa kita waspada, kita juga jangan terlalu menakut-nakutkan diri sehingga lebih banyak lagi maklumat berhubung varian ini diketahui,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Pekan itu berkata, tidak salah buat semua pihak untuk mengambil langkah persediaan dengan meningkatkan kapisiti dan keperluan perubatan serta menerima dos penggalak vaksin Covid-19.
“Tidak salah untuk kita mulakan kerja meningkatkan kapasiti perubatan, ambulans, fasiliti kuarantin, stok perubatan, pakaian peralatan perlindungan diri (PPE) dan lain-lain sebagai langkah persediaan.
“Tidak salah juga bagi rakyat Malaysia lebih menerima dos penggalak sebagai langkah pencegahan.
“Saya sendiri sudah menerima dos ketiga ini dengan selamat sebulan dahulu. Tetap cergas dan sihat. Mari kita sama-sama doakan perlindungan yang terbaik bagi Malaysia,” jelasnya.
Jumaat lepas, media melaporkan, sekumpulan saintis di Afrika Selatan semalam mengesan varian baharu Covid-19 dikenali dengan nombor saintifik B.1.1.529 dengan bilangan mutasi yang tinggi, sekali gus menyumbang kepada peningkatan kes di negara itu.
Semalam, media melaporkan, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan varian baharu itu sebagai varian membimbangkan (VOC).
WHO turut menamakan varian yang dikesan pertama kali di Afrika Selatan itu sebagai Omicron.
Pihak berkuasa kesihatan ketika ini sedang berusaha untuk menentukan sama ada Omicron lebih mudah menular atau berjangkit berbanding varian lain serta keberkesanan vaksin sedia ada terhadapnya.
Penemuan varian koronavirus baharu itu mencetuskan amaran global apabila sebahagian besar negara bergegas menyekat kemasukan dari Afrika Selatan bagi mengekang penularan Omicron. – UTUSAN