KUALA LUMPUR: Pembangunan vaksin Covid-19 tempatan akan dilengkapi sijil halal,sekali gus menjadi perbezaan dengan vaksin lain.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Mohamed@Hashim berkata, perkara itu menjadi kelebihan berkaitan pengkomersialan vaksin Covid-19 keluaran tempatan.
Menjelaskan perkara itu, katanya, pembangunan vaksin berkenaan membabitkan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakin) serta Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).
“Selain pembabitan NPRA yang memastikan vaksin ini melalui proses sepatutnya bagi memudahkan kelulusan, penyertaan JAKIM daripada peringkat awal juga memberi kelebihan kepada kita.
“Barangkali kita akan menghasilkan vaksin mempunyai trademark (tanda niaga) halal pertama di dunia, ini kelebihan kepada kita,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Terdahulu, Datuk Dr. Mohd Hatta Md Ramli (Amanah-Lumut) meminta kementerian menjelaskan kelebihan atau perbezaan penghasilan vaksin Covid-19 tempatan bagi menarik perhatian dunia.
Tambah Ahmad Amzad lagi, kemunculan vaksin halal itu berkemungkinan menjadi vaksin Covid-19 pertama di dunia yang mempunyai tanda niaga halal yang diterima di seluruh dunia. – UTUSAN ONLINE