KUALA LUMPUR : Mendedahkan dirinya terkena gangguan sihir sejak Februari lalu, selebriti dan pendakwah bebas, Da’i Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful,25, mengaku tahu bahawa individu yang melakukan perbuatan tersebut merupakan wanita.
Tidak menyatakan sama ada ia merupakan seorang individu atau ramai, Syed, mendedahkan perkara itu telah dimaklumkan oleh beberapa orang ustaz yang merawat dirinya menerusi perubatan alternatif dan Islamik.
“Walaupun kini keadaan saya sudah okey sikit, tapi, saya masih perlu pergi berubat lagi dari semasa ke semasa. Sihir yang dihantar itu tidaklah dalam bentuk rasukan. Tetapi buat saya rasa malas, takut nak jumpa orang, tak nak bekerja, stres dan macam-macam lagi.
“Pendek kata, dia serang dalaman saya dari segi itu. Saya juga jadi susah nak tidur sejak terkena selain tak lalu nak makan.Badan pun jadi kurus. Ustaz yang merawat ada maklumkan yang si penghantar itu merupakan seorang wanita.
“Tiga orang ustaz cakap benda yang sama, tapi tak beritahulah siapa. Saya pun tak boleh nak agak siapa. Kita tak tahu orang nak buat kita,”katanya.
Syed ditemui pada majlis memerterai perjanjian di antaranya dan Kamya Glow di Kamya Glow di Bukit Jelutong, Selangor, baru-baru ini.
Selain itu, kata Syed yang juga penyanyi Ya Habibi ini mengaku telah menemui beberapa objek pelik yang berada di beberapa lokasi termasuk di dalam bilik tidurnya.
“Saya ada terjumpa jarum dalam rak baju bilik. Peliknya, jarum itu tak pernah ada pun di situ tapi tiba-tiba muncul. Selain itu, adik saya pun terjumpa duit syiling di depan rumah.
“Ustaz pernah beritahu, kalau jumpa duit syiling depan rumah jangan ambil. Tapi adik saya ada terambil,mungkin sebab dia tak tahu. Jadi, saya pun terus hubungi ustaz untuk memeriksa rumah.
“Ternyata, selepas dia periksa, memang ada gangguan (jin) di bilik saya, depan rumah dan dalam kereta saya. Sebab itu bila saya nak keluar rumah jadi malas dan mula dapat beberapa gangguan lain yang saya maklumkan tadi,” katanya.
Dalam pada itu, ditanya mengenai responsnya apabila sebelum ini pernah disamakan dengan watak animasi monyet popular, Wukong, Syed mengaku sedih namun tidak mampu untuk menutuo mulut orang daripada berkata.
“Memang saya sedihlah tak akan nak cakap saya gembira? Itu tanggapan orang bukan. Saya terpaksa hadapi sahalah.
“Sebenarnya saya tak tahu nak cakap apa. Tak boleh nak tutup mulut orang. Kalau orang sudah tidak suka, kita buat baik pun dia tak suka. Buat tak baik apatah lagi.
“Nak buat macam mana, saya tak nak fikirlah apa tanggapan mereka. Ini imej baru saya, asalkan saya tidak buat atau melanggar syariat Islam, sensitiviti dan adab orang kita, saya akan jalan terus,”katanya.
Terdahulu, Syed pernah disamakan dengan watak animasi tersebut kerana penampilan imejnya yang kini berjambang dan berjanggut selain diwarnakan dengan warna perang.