PUTRAJAYA: Para pendidik Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) tidak perlu berasa malu kerana bertugas dalam bidang berkenaan yang turut dianggap sebagai kurang glamor.
Nasihat tersebut disuarakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad kepada sejumlah 35,000 orang guru KAFA di seluruh negara ketika ini.
“Jangan berasa agak malu untuk anda mengaku sebagai guru KAFA kerana dari segi amal jariah, martabat anda sebenarnya lebih besar daripada pensyarah universiti sendiri,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Penyampaian Hadiah Ihtifal KAFA Kebangsaan dan Ihtifal Ilmi Sekolah Menengah Agama Malaysia 2021 di sini.
Program tahunan anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu buat julung kali dibuat secara dalam talian sejak April lalu dengan melibatkan seramai 266 peserta dari seluruh negara.
Ia dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan dalam usaha cungkil bakat baharu pendakwah muda dari kalangan institusi pengajian agama peringkat rendah dan menengah.
Mengulas lanjut, Idris berkata, sumbangan guru KAFA amat dihargai kerajaan malah Bajet 2022 ada menyalurkan pemberian khas sekali bayar RM500 bagi setiap seorang.
“Mungkin nilai ini tidak besar tetapi dari segi ganjaran Allah, anda bertuah kerana ajar anak bangsa erti solat dan ayat al-Quran yang pahala mengalir waima sudah meninggal,” katanya.
Pada masa sama, beliau berbangga kerana tahap kesedaran ibu bapa terhadap KAFA turut meningkat sekali gus membuktikan prospek positif pendidikan agama dalam jangka panjang.
Jelasnya, ini dapat dilihat apabila KAFA mula diperkenalkan oleh Jakim pada 1990, jumlah guru ketika itu hanya 5,830 orang selain dipantau 44 penyelia dan seramai 169,330 murid.
Hari ini pula tambah beliau, terdapat sejumlah 35,000 guru terlatih yang dipantau 383 penyelia dan melibatkan lebih 1.1 juta murid belajar di 3,654 institusi pendidikan Islam.
Lebih unik kata Idris, sistem pengajian agama di Malaysia bukan sahaja aktif dilaksanakan Kerajaan Persekutuan, malah peranan itu dimainkan bersama pihak berkuasa agama setiap negeri.
“Jakim selaku agensi penyelaras turut berusaha memperkasakan KAFA melalui pelbagai inisiatif meliputi pengurusan, kebajikan, latihan, keselamatan premis dan aspek prasarana.” tegasnya.
Pada majlis berkenaan, beliau turut melancarkan secara rasmi logo KAFA julung kali diperkenalkan sebagai lambang seragam imej dan prestij sistem pendidikan tersebut di seluruh Malaysia.
Sepertimana logo halal yang dikenali rakyat negara ini sebagai penanda aras standard Jakim, maka logo KAFA katanya, turut berfungsi menarik keyakinan masyarakat terhadap bidang itu.
Menariknya ia dihasilkan sendiri guru KAFA, Rosliza Mohd. Nor yang juga lepasan sekolah agama sebelum belajar ke Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor.
Idris turut mengambil peluang bagi mengucapkan selamat maju jaya kepada lebih 200,000 calon yang akan menduduki Modul Penilaian Kelas KAFA bermula lusa sehingga akhir bulan ini.
Format pentaksiran baharu itu sebagai menggantikan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) yang sepatutnya diadakan selama tiga hari mulai Isnin ini dengan melibatkan murid tahun 5 dan 6.