SEPANG: Kerajaan negeri disaran tidak mengawal kekerapan penerbangan ke negeri-negeri berikutan situasi pandemik Covid-19 dilihat bertambah baik sekali gus usaha merancakkan lagi ekonomi dan industri tersebut.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, kawalan kekerapan penerbangan dilihat menyebabkan kenaikan harga tiket yang menjadi beban kepada pengguna.
“Sekiranya kawalan kekerapan penerbangan dibuat, harga tiket akan naik dan pengguna fikir banyak kali (untuk membeli tiket).
“Jadi serahkan kekerapan penerbangan ini kepada Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) dan syarikat penerbangan, itu lebih baik,” katanya dalam sidang akhbar selepas pelancaran Sistem Elektronik Pelesenan AeroLicence dan Panduan Nasihat Perjalanan FlySmart, di sini hari ini.
Sebelum ini, Ka Siong memberitahu Dewan Rakyat, harga tiket penerbangan antara Semenanjung Malaysia dan Sarawak merekodkan antara satu hingga enam kali ganda lebih mahal bagi tarikh penerbangan antara 2 hingga 8 November, berbanding harga tiket pada 2019.
Bagi laluan ke Sabah pula, beliau dipetik berkata, Mavcom mendapati harga tiket lebih rendah antara 30 hingga 62 peratus direkodkan bagi tarikh 4 hingga 10 November berbanding pada 2019.
Dalam pada itu, beliau berkata, perbincangan sudah dibuat dengan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak dan keputusan telah dibuat iaitu selepas 1 November, kekerapan penerbangan ditambah ke negeri tersebut.
“Harga tiket penerbangan kini beransur turun tetapi belum sampai tahap yang diidamkan. Tak mungkin ia akan turun pada paras harga sebelum pandemik Covid-19 kerana semua syarikat juga nak untung,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan kepada penumpang supaya menempah tiket penerbangan lebih awal sekurang-kurangnya dua minggu bagi mengelakkan kenaikan harga mendadak. – UTUSAN ONLINE