Unimy mahu jadi ‘permata ilmu’ Cyberjaya - Utusan Malaysia

Unimy mahu jadi ‘permata ilmu’ Cyberjaya

MOHD. Razali Muhamad berbangga dengan pencapaian pelajar University Malaysia of Computer Science and Engineering (Unimy) khususnya dalam sektor kebolehpasaran. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: University Malaysia of Computer Science and Engineering (Unimy) berhasrat menjadi permata ilmu Cyberjaya khasnya dalam bidang teknologi komunikasi maklumat (ICT).

Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Mohd. Razali Muhamad berkata, hasrat itu tidak mustahil dicapai selain kemasukan para pelajar baharu sepanjang tahun ini melonjak lebih 100 peratus.

“Selain rancang memiliki bangunan baharu di belakang blok sedia ada ketika ini, kami juga bakal tambah 15 lagi program baharu menjelang sesi kemasukan Februari 2022 kelak,” katanya.

Ketika ditemui Utusan Malaysia di kampus Unimy di Blok 12 Star Central di sini baru-baru ini, beliau ternyata amat optimis apabila bercakap mengenai masa depan pusat pengajian itu.

Unimy diasaskan hasil keputusan mesyuarat Kabinet pada 2011 mengenai keperluan modal insan berteraskan ICT dengan berfungsi sebagai universiti butik iaitu kurang 5,000 penuntut.

MOHD. RAZALI MUHAMAD

Ia mula menerima kumpulan pelajar pertama setahun selepas itu dengan kampus sementara di sebuah premis perniagaan kecil di Putrajaya sebelum berpindah ke sini sekitar 2019 lalu.

Peringkat awal, institusi pengajian tinggi (IPT) swasta itu diuruskan oleh firma ICT terkenal tempatan, Prestariang Berhad yang kemudian dinamakan pula AwanBiru Technology Berhad.

Bagaimanapun, awal tahun lepas, Unimy dimiliki sepenuhnya gergasi kejuruteraan bertaraf global, Serba Dinamik Group Berhad untuk keperluan latihan bakat baharu berasaskan ICT.

“Namun, graduan kami ada kebolehpasaran luas dengan 94 peratus lepasan sarjana muda terus bekerja habis pengajian manakala 84 peratus lagi lepasan diploma,” jelas Mohd. Razali.

Lebih membanggakan ujarnya, apabila sekumpulan 11 pelajar yang menjalani latihan industri dengan firma antarabangsa Dell di Cyberjaya langsung diambil bekerja sebelum tamat belajar.

Situasi luar jangkaan itu tambahnya membuktikan keyakinan syarikat asing terhadap kualiti taraf pengajian Unimy yang sudah pun setanding dengan IPT ternama di dalam dan luar negara.

Ibarat kecil cili padi, beliau menyifatkan komitmen 29 tenaga pengajar dengan 10 daripadanya memiliki ijazah doktor falsafah (PhD) selain 43 staf bukan akademik banyak memberikan jasa.

Kemampuan itu terbukti apabila tahun ini, 245 pelajar mendaftar berbanding cuma 86 orang sepanjang tahun lalu, malahan ketika ini Unimy turut memiliki 86 pelajar asing dari 21 negara.

“Program ditawarkan relevan keperluan semasa waima kami bahkan ada diploma pembangunan permainan yang berpotensi besar bagi kemajuan arena e-sukan tempatan sendiri,” katanya.

Selain itu, Unimy ketika ini menawarkan 13 program termasuk pengajian asasi untuk lepasan Sijil Pelajaran Malaysia dengan lima subjek kepujian untuk belajar bidang pengkomputeran.

Tambah Mohd. Razali, peringkat diploma pula ada lima program ICT termasuk keselamatan siber, manakala empat lagi program peringkat sarjana muda serta dua peringkat sarjana.

Untuk peringkat PhD ujarnya, ketika ini hanya ada satu program pengkomputeran, namun jumlahnya akan ditambah tiga program baharu berkaitan ICT pada pengambilan tahun depan pula.

Paling unik, Unimy juga ada menawarkan Program 2 Dalam 1 iaitu pengajian akademik dan Sijil Tahfiz Malaysia dengan pengujian akhir dibuat oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Unimy seumpama permata di Cyberjaya dan sedia bantu anak muda berwawasan dalam ICT untuk kembangkan bakat dan mengharumkan nama baik Malaysia di persada dunia,” katanya.

Untuk sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut mengenai Unimy boleh hubungi Mahathir Jamal di talian +60 13-388 7810.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya