UMNO gagal batal saman SRC International - Utusan Malaysia

UMNO gagal batal saman SRC International

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: UMNO hari ini gagal membatalkan saman oleh SRC International Sdn. BHd. dan dua anak syarikatnya yang menuntut kembali wang RM16 juta yang didakwa diselewengkan daripada syarikat terbabit.

Pesuruhjaya Kehakiman, Quay Chew Soon memutuskan untuk menolak permohonan UMNO itu atas alasan terdapat isu yang perlu diputuskan melalui perbicaraan.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh peguam, Shahrul Fazli Kamaruzaman ketika dihubungi media selepas tamat prosiding yang dijalankan secara dalam talian hari ini.

Prosiding dalam talian itu turut disertai peguam Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff mewakili UMNO dan peguam Nur Syafinaz Vani Abdullah yang mewakili SRC International, Gandingan Mentari Sdn. Bhd. dan Jendela Pinggiran Sdn. Bhd. selaku plaintif.

Selain itu, Shahrul Fazli memberitahu, mahkamah turut membenarkan permohonan kesemua plaintif untuk meminda nama defendan dalam tuntutan tersebut dengan menamakan pegawai awam parti itu iaitu Setiausaha Kerja, Datuk Mohd. Sumali Reduan sebagai defendan.

Sebelum ini, plaintif menamakan UMNO yang disaman melalui presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Ahmad Maslan dan pemegang-pemegang jawatannya sebagai defendan.

“Mahkamah turut membenarkan permohonan defendan untuk penggantungan interim pemfailan penyataan pembelaan sementara menunggu rayuan diputuskan,”ujar Shahrul Fazli.

SRC International, Gandingan Mentari, dan Jendela Pinggiran menyaman parti itu bagi menuntut RM16 juta yang didakwa dipindahkan secara salah kepada UMNO.

Plaintif mendakwa parti politik itu mengetahui wang berkenaan adalah milik SRC International dan UMNO tidak mempunyai asas menerima dana terbabit.

Pada 10 Mei lalu, Kementerian Kewangan mengesahkan 1MDB dan anak syarikatnya SRC International Sdn Bhd memfailkan 22 saman bagi mendapatkan semula aset bernilai lebih RM96.6 billion termasuk RM300 juta daripada pelbagai pihak tempatan.

Kementerian itu menyebut, writ saman terbabit difailkan pada 7 Mei lalu, iaitu enam oleh 1MDB dan 16 oleh SRC.

Saman difailkan 1MDB terhadap sembilan entiti termasuk dua institusi kewangan asing dan 25 individu manakala SRC memfailkan saman terhadap lapan entiti serta 15 individu atas pelbagai salah laku. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN