Tuntut insurans palsu RM500,000: 2 lelaki didenda RM4,000  - Utusan Malaysia

Tuntut insurans palsu RM500,000: 2 lelaki didenda RM4,000 

DUA lelaki termasuk seorang OKU didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Munisipal Seberang Perai, Pulau Pinang hari ini selepas didapati bersalah membuat tuntutan insurans palsu sebanyak RM500,000 pada April 2019.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Dua lelaki termasuk orang kurang upaya (OKU) masing-masing didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Munisipal Seberang Perai di sini hari ini, selepas didapati bersalah membuat tuntutan insurans palsu sebanyak RM500,000 pada April 2019. 

Kedua-dua tertuduh, Muhammad Akmal Aliff Omar, 29, dan Muhamad Rizal Ahmad, 34, sebelum itu mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noor Farah Hazwani Osman. 

Muhammad Akmal Aliff yang kudung tangan kiri hadir mengenakan kemeja-T berwarna biru gelap manakala Muhamad Rizal memakai baju berwarna jingga. 

Mengikut pertuduhan, mereka secara bersama didakwa menipu syarikat The Pacific Insurance Bhd. yang mendorong syarikat itu membuat bayaran tuntutan insurans sebanyak RM500,000 atas tuntutan kemalangan yang tidak wujud. 

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada 4 April 2019 di The Pacific Insurance Bhd., 40-01, Q Sentral, 2A, Jalan Steen Sentral 2, Kuala Lumpur. 

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan berkenaan mengikut Seksyen 417 atau Seksyen 511 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-dua sekali. 

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurameera Shahrul Azrin, manakala Muhammad Akmal Aliff dan Muhamad Rizal diwakili peguam Lily Syarmeela Asyiqin Hamid. 

Ketika rayuan, Lily Syarmeela Asyiqin memohon mahkamah meringankan hukuman berikutan Muhammad Akmal Aliff yang bekerja pengawal keselamatan dan Muhamad Rizal yang bekerja kampung mempunyai tanggungan lain dengan pendapatan masing-masing RM1,000 sebulan. 

Kedua-dua tertuduh kemudian membayar denda sebelum dibebaskan. 

Terdahulu pada Jumaat lalu, kedua-dua tertuduh mengaku bersalah di hadapan Penolong Pendaftar Mahkamah Butterworth, Nigel Jirin di mahkamah sama dan dibebaskan dengan ikat jamin RM3,000 setiap seorang. 

Mengikut fakta kes, seorang lelaki telah membuat tuntutan insurans mengatakan seorang pemandu kereta telah melanggarnya di Kilometer 161.5, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan pada Februari 2018 sehingga menyebabkannya putus lengan kiri pada paras bahu. 

Siasatan polis mendapati pemandu kereta seperti didakwa tidak memasuki dan keluar dari plaza tol pada hari kemalangan. 

Berdasarkan kenyataan saksi, lelaki itu dikatakan telah terbabas sendiri dan melanggar penghadang jalan sehingga tangan kirinya putus. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN