PETALING JAYA: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegur sikap Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad supaya tidak sombong dan menghormati wartawan serta menjawab soalan yang ditanya dengan baik.
Katanya, tidak perlu mengaitkan atau memusingkan soalan yang ditanya dengan bahasa, suami orang dan sebagainya.
“Jangan sombong sangat. Wartawan tanya soalan baik-baik, jawablah baik-baik. Pusing hal bahasa lah, hal suami orang.
“Perangai politik lama ini buanglah. Susah ke mahu hormat orang? Takkan nak tunggu pilihanraya baru nak datang adab?” Tanya Syed Saddiq dalam hantaran di Twitter.
Idris yang juga Naib Presiden Pas menjadi sasaran kritikan apabila dikatakan beliau bersama seorang lagi pemimpin parti itu, Awang Hashim, dilihat “mengasak” seorang wartawan FMT yang menyoal isu penutupan kedai judi nombor ekor oleh kerajaan pimpinan parti itu di Kedah.
Idris menyoal sama ada wartawan Minderjeet Kaur boleh menerima jika suaminya “kaki judi”.
Manakala Awang, yang juga Ahli Parlimen Pendang dan Timbalan Menteri Sumber Manusia, mendesak wartawan berkenaan supaya bertanyakan soalan dalam Bahasa Malaysia.