JERANTUT: Sikat dan penyepit rambut diperbuat daripada buluh atau kayu yang menjadi hiasan di kepala golongan wanita kaum Orang Asli etnik Bateq di sini merupakan tradisi yang makin dilupakan dan kian hilang ditelan zaman.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, penduduk Orang Asli etnik Bateq Kampung Bengoi, Hulu Tembeling, Majid Nyai, 64, sedih apabila tiada lagi generasi pelapis yang mampu menghasilkan seni hiasan warisan nenek moyang kaum itu.
Beliau berkata, sikat atau penyepit rambut merupakan peralatan tradisional kaum itu yang mendiami hutan tropika Taman Negara di sini sejak turun-temurun.
“Ia peralatan untuk kekemasan diri dan hiasan (rambut) dibuat dalam bentuk saiz yang agak besar berbanding sikat biasa yang dijual di kedai-kedai.
“Biasanya, bilah-bilah (sikat) ini terbentuk apabila kayu hutan ditarah mahupun buluh diraut dalam saiz yang besar berbanding sikat biasa malah berbeza seperti yang terdapat di kedai aksesori wanita,” katanya di Kampung Bengoi, Kuala Sat, di sini.
Menurut Majid, kebiasaannya terdapat 12 bilah (sisir) atau lebih yang dibentuk berasaskan saiz kepala wanita atau pilihan bagi mereka berkenaan.
“Saya tidak tahu apa rahsia di sebalik bilah atau sisir ini, tetapi daripada mulut orang-orang tua zaman dahulu menggambarkan pemakaian sikat ini sebagai perhiasan seperti seorang dewi jelita atau bidadari yang menginap di hutan rimba Taman Negara,” jelasnya.
Dia yang mempunyai lima orang anak itu berkata, peralatan itu hanya bertujuan menyikat rambut dan kemudian dijadikan sebagai penyepit untuk mengemaskan rambut supaya kelihatan cantik dan terurus bagi kalangan wanita.
“Sejak nenek moyang kami lagi, amalan memakai sikat ini perlu bagi setiap orang wanita Orang Asli di sini dengan masing-masing memiliki sikat ini untuk menyisir dan mengemas rambut sekali gus menjadi hiasan di kepala.
“Tetapi, sejak pelbagai jenis sikat dan penyepit banyak dijual di kedai dan menjadi pilihan amalan menggunakan peralatan tradisional ini sudah dilupakan oleh generasi Orang Asli hari ini,” ujarnya. – UTUSAN