PETALING JAYA : Lapan pasukan kembali bertempur di pentas suku akhir kedua, malam ini bagi merebut empat slot di separuh akhir dalam kempen Piala Malaysia.
Skuad Harimau Selatan memiliki kelebihan bermain di laman sendiri apabila melayan kunjungan lang Merah di Stadium Sultan Ibrahim manakala tugas getir terpaksa diharungi Selangor yang memerlukan sekurang-kurangnya tiga gol serta tidak dibolosi apabila bertandang di gelanggang Kuala Lumpur City (KL City), malam ini.
Bagaimanapun, tumpuan bukan hanya terarah kepada aksi pemain di atas padang namun para peminat bola sepak tempatan turut menantikan ‘drama’ di luar padang melibatkan pemilik JDT Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan juga Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor, sama ada akan berlarutan atau terhenti begitu sahaja.
Situasi ‘perang mulut’ antara Tunku Ismail dan Sanusi pada aksi suku akhir pertama bukan sahaja menarik perhatian penyokong kedua-dua pasukan, malah turut menghangatkan lagi bahang Piala Malaysia yang memasuki edisi ke-100 tahun.
Dalam pada itu, Selangor yang merupakan bekas juara 33 kali Piala Malaysia perlu menyusun strategi terbaik untuk meleburkan rekod kebal yang di pegang KL City di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, yang menyaksikan anak buah Bojan Hodak itu memegang rekod 19 perlawanan tanpa tewas di laman sendiri musim ini.