TLDM bakal terima 3 helikopter AW139 tahun depan - Utusan Malaysia

TLDM bakal terima 3 helikopter AW139 tahun depan

DELEGASI Malaysia bergambar di hadapan helikopter AW139 ketika tinjauan di fasiliti firma Leonardo di Vergiate, Itali baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tiga buah helikopter operasi maritim (HOM) model AW139 bakal diterima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) seawal-awalnya menjelang suku kedua pada tahun depan.

Menerusi hantaran dalam laman sosial rasmi pasukan itu, kemajuan sebenar pembinaan pesawat tersebut bahkan telah pun mendahului daripada jadual pelaksanaan kontrak ditetapkan.

Maklumat terbaharu itu disahkan ketika Mesyuarat Kajian Semula Pengurusan Projek Ketiga yang berlangsung di kilang firma pengeluarnya, Leonardo di Vergiate, Itali pada Khamis lalu.

“Delegasi turut dibawa melihat sendiri proses pemasangan HOM dengan lebih dekat di barisan pengilangan akhir helikopter utiliti enjin kembar itu,” kata TLDM dalam hantaran berkenaan.

Kemasukan pesawat itu menjadikan TLDM sebagai pasukan terbaharu di Malaysia menggunakan AW139 untuk perkhidmatan bersenjata selepas Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Sebelum ini, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia sudah pun memiliki helikopter itu sebagai unit udara mereka.

TLDM ketika ini telah mempunyai enam helikopter Super Lynx 300 keluaran Westland dari Britain dan enam buah lagi model AS555SN buatan Perancis dikeluarkan Eurocopter Fennec.

Mengulas lanjut, TLDM berkata, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abdul Aziz mempengerusikan mesyuarat itu bagi membincangkan status kemajuan projek ini.

“Delegasi Malaysia juga berpeluang mengikuti penerbangan dua buah HOM yang sudah sedia sebelum ia menjalani fasa pra-pemeriksaan penghantaran dalam tempoh terdekat,” katanya.

Turut serta dalam sesi berkenaan ialah Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Mohd. Reza Mohd. Sany dan Panglima Udara TLDM, Laksamana Pertama Ahmad Shafirudin Abu Bakar.

Kontrak tender perolehan HOM ini telah dimeterai antara Kerajaan Malaysia dan firma aeroangkasa terkenal tempatan, Galaxy Aerospace Malaysia Sdn. Bhd. pada 11 September tahun lalu.

Perjanjian tersebut jelasnya, turut meliputi dua set peralatan misi untuk tempoh lima tahun dan bakal ditempatkan untuk beroperasi di Stesen Udara Pangkalan TLDM Kota Kinabalu, Sabah.

Langkah berkenaan juga bagi memperkasakan aset Armada Timur TLDM terutama dalam membantu pengoperasian di kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).

“Projek ini bakal jadi contoh kontrak perolehan Kementerian Pertahanan pada masa depan,” kata syarikat yang beribu pejabat di Petaling Jaya, Selangor itu menerusi akaun sosialnya.

Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Seri Johari Harun dan Pengarah Urusannya, Datuk Shamsul Kamar Samsudin turut hadir mewakili firma berkenaan ketika sesi mesyuarat dan tinjauan.

Model AW139 yang dikeluarkan secara komersial sejak 2003, ketika ini turut digunakan oleh pasukan tentera dari 24 negara selain juga organisasi bukan ketenteraan dari 24 negara.

Dengan dikemudikan dua juruterbang dan muatan kapasiti 15 penumpang, pesawat ini mampu memecut maksimum 310 kilometer sejam dengan jarak terbang sejauh 1,061 kilometer. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya