Tiga pelajar senior madrasah tahfiz didakwa cederakan dua pelajar junior - Utusan Malaysia

Tiga pelajar senior madrasah tahfiz didakwa cederakan dua pelajar junior

Pelajar tahfiz dihadapkan ke Mahkamah Majistret Jenayah, Kompleks Mahkamah Kajang atas tuduhan membuli pelajar junior di sini hari ini. UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAJANG: Tiga pelajar senior sebuah madrasah tahfiz yang sebelum ini ditahan kerana membuli dua pelajar junior, mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap mangsa masing-masing berusia 10 dan 12 tahun.

Ketiga-tiga tertuduh yang berstatus juvana berusia di antara 16 dan 17 tahun membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Syahrul Sazly Md. Sain.

Bagaimanapun mahkamah menetapkan 29 Disember ini untuk pendengaran laporan akhlak, sebelum hukuman dijatuhkan.

Dalam mahkamah sama, seorang lagi tertuduh iaitu Muhammad Muaz Zainul Abidin, 24, yang merupakan rakan kepada tiga tertuduh juvana itu pula mengaku tidak bersalah atas pertuduhan serupa.

Mahkamah turut menetapkan tarikh sama bagi sebutan kes terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, keempat-empat mereka secara bersama didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap dua kanak-kanak tersebut di bilik asrama sebuah madrasah tahfiz di Hulu Langat di sini pukul 7.30 malam pada 31 Oktober lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Husna Amran menawarkan jaminan RM4,000 bagi setiap tertuduh juvana sementara RM5,000 bagi Muhammad Muaz.

Kesemua tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jumlah ikat jamin itu dikurangkan.

Mahkamah kemudian membenarkan tiga tertuduh juvana itu diikat jamin RM1,000 setiap seorang manakala Muhammad Muaz diikat jamin RM1,500.

Pada 23 November lalu, media melaporkan polis menahan lima pelajar senior sebuah madrasah kerana membuli dua pelajar sehingga menyebabkan kecederaan fizikal.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, kesemua suspek ditahan selepas pihaknya menerima laporan polis daripada bapa saudara kedua-dua mangsa pada pukul 6.19 pagi.

Menurut polis, kelima-lima suspek berusia lingkungan 14 hingga 24 tahun merupakan pelajar senior di madrasah tahfiz berkenaan dan suspek bertindak memukul dan membuli kedua-dua mangsa yang juga pelajar tahun kedua di sekolah terbabit.

Menurut Mohd. Zaid, hasil siasatan awal mendapati mangsa mengalami kecederaan fizikal di muka dan badan dipercayai akibat ditampar, ditumbuk dan ditendang lima pelajar senior itu.

Jelasnya, aktiviti buli itu dipercayai telah berlanjutan selama beberapa bulan yang mana kedua-dua mangsa telah di`raging’ dan diugut jika cuba memberitahu pihak madrasah.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya