Tiga nelayan dilaporkan hilang bot karam ditemukan selamat

Tiga nelayan dilaporkan hilang bot karam ditemukan selamat

TIGA nelayan yang dilaporkan hilang selepas bot mereka karam semalam diselamatkan sebuah bot nelayan di Pulau Sembilan dekat Bagan Datuk, Perak, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: “Sejak malam tadi saya gundah gulana tidak dapat tidur dan tidak menjamah sebarang makanan risaukan keadaan suami dan anak selepas bot mereka karam.

“Tapi sekarang sudah tenang semula dan lega sangat apabila mereka semua didapati selamat,” kata Dayang Ismail.

Dayang, 55, adalah isteri kepada tekong bot, Mohd. Nor Sulaiman, 62, yang dilaporkan hilang selepas bot yang dinaikinya bersama anak, Norasmawi, 29, dan seorang lagi kru berusia 70 tahun karam di perairan Pulau Talang, dekat Pantai Remis, malam tadi.

Mereka yang bekerja dengan pemilik bot nelayan berpangkalan di Pantai Remis, diselamatkan oleh sebuah bot nelayan dari Pulau Pangkor di perairan Pulau Sembilan, dekat Bagan Datuk pada pukul 11 pagi tadi. 

Menurut Dayang, suami dan anak keempatnya itu sudah kembali berada di rumah manakala seorang lagi kru pulang ke rumahnya dalam keadaan selamat selepas dihantar ke jeti pelantar Pantai Remis.  

Menceritakan semula detik cemas itu, Dayang menjelaskan Mohd. Nor menghubungi anak sulung mereka pada pukul 8.30 malam memberitahu bot dinaikinya sedang tenggelam dan meminta bantuan.

“Suami telefon anak bagitahu ;datang tolong abah, bot abah dah tenggelam’ dan cakap akan bagi isyarat lampu dan maklumkan lokasinya tetapi tidak begitu jelas, hanya dengar perkataan seperti ‘lan atau lang’, jadi anak ingat bot abahnya tenggelam dekat Pulau Talang, rupa-rupanya Pulau Sembilan,” jelas Dayang ketika dihubungi pemberita hari ini.

Dayang kemudian terus menghubungi  talian kecemasan dan membuat laporan kejadian itu manakala anak sulungnya bersama beberapa anaknya yang lain dan nelayan kampung bergerak ke Pulau Talang, malangnya tidak menemui mereka.

“Sebenarnya hati saya kuat mengatakan suami dan anak selamat dan saya sempat masak nasi, sediakan kari ikan dan ikan goreng kerana yakin mereka akan pulang semula ke rumah. Alhamdulillah doa saya dimakbulkan,” terangnya sambil menjelaskan ia kejadian pertama berlaku sejak suaminya menjadi nelayan 48 tahun lalu.

Dayang mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada nelayan yang membantu mencari dan menyelamatkan suami dan anaknya, begitu juga pihak berkuasa terutama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Perak (Maritim Perak) yang melakukan operasi mencari dan menyelamat mangsa.

Sementara itu, Pengarah Maritim Perak, Kapten Maritim Shahrizan Raman ketika dihubungi mengesahkan ketiga-tiga mangsa ditemui dan diselamatkan bot nelayan pada pukul 11 pagi tadi. 

Menurut beliau, ketiga-tiga lelaki tersebut dilaporkan berada dalam keadaan baik, tidak mengalami sebarang kecederan dan sudah dihantar pulang ke Pantai Remis. 

“Berdasarkan perkembangan terbaru ini, operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditamatkan sepenuhnya pada pukul 3.30 petang tadi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya