Tiga lelaki terima deposit tanpa lesen bagi pelaburan berjumlah RM2.14 juta didakwa - Utusan Malaysia

Tiga lelaki terima deposit tanpa lesen bagi pelaburan berjumlah RM2.14 juta didakwa

TIGA lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam atas dua pertuduhan menerima wang deposit tanpa lesen bagi tujuan pelaburan berjumlah RM2.14 juta. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Tiga pemilik syarikat pelaburan tidak berlesen mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan menerima wang deposit tanpa lesen bagi tujuan pelaburan daripada beberapa individu berjumlah RM2.14 juta antara Januari hingga Mac tahun lalu.

Ketiga-tiga tertuduh, Mohd. Nasri Abdul Rahim, 35; Haswira Aiman Hassan Merican, 29, dan Muhamed Erman Omar Hattab, 33, membuat pengakuan itu selepas dua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Helina Sulaiman.

Mohd. Nasri turut mengaku tidak bersalah atas dua lagi pertuduhan menerima wang deposit berjumlah RM260,000 daripada dua individu antara 1 Januari 2020 sehingga 20 Februari tahun yang sama.

Berdasarkan pertuduhan, Mohd. Nasri, Haswira Aiman dan Muhamed Erman didakwa menerima deposit daripada dua lelaki masing-masing berusia 30 dan 35 tahun berjumlah RM2,140,000 tanpa lesen sah di bawah Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Akta 758) di Seksyen 7, di sini pada 11 dan 13 Mac 2020.

Mohd. Nasri turut didakwa dengan dua lagi pertuduhan iaitu menerima deposit daripada dua lelaki masing-masing berusia 33 dan 40 tahun berjumlah RM260,000 tanpa lesen yang sah di Jalan Setia Alam, Seksyen U13, di sini antara 24 Januari 2020 sehingga 20 Februari tahun yang sama.

Kesemua mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 137(1) akta sama yang boleh dihukum di bawah Seksyen 137(2) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda sehingga RM50 juta atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Zafirah Syed Mustapa manakala tertuduh diwakili peguam bela, Ravitharan.

Mahkamah menetapkan jaminan RM10,000 seorang bagi pertuduhan pertama dan kedua manakala Mohd. Nasri dibenarkan untuk jaminan lagi masing-masing sebanyak RM10,000 dan RM15,000 bagi pertuduhan ketiga dan keempat.

Kes ditetapkan untuk sebutan pada 7 Disember hadapan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN