Tidak boleh sekat pergerakan rakyat selama-lamanya - Utusan Malaysia

Tidak boleh sekat pergerakan rakyat selama-lamanya

TIMOTHY WILLIAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Sekatan terhadap aktiviti sosial bukan satu langkah tepat untuk mengawal peningkatan kes Covid-19 pada masa ini kerana negara sedang beralih kepada fasa endemik.

Hanya kawalan kendiri sahaja mampu mengawal jangkitan kes Covid-19 dalam kalangan masyarakat.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pakar Penyakit Berjangkit Hospital Gleneagles, Dr. Timothy William berkata, mengenakan tindakan undang-undang untuk mengawal aktiviti sosial bukan lagi langkah tepat pada masa ini.

“Kita sedang beralih kepada fasa endemik maka tanggungjawab menjaga kesihatan terletak pada diri sendiri. Bukan lagi pada bahu kerajaan.

“Ketika ini, masyarakat tidak mempunyai pilihan selain melakukan penjagaan kendiri dengan lebih bertanggungjawab demi kesihatan dan keselamatan diri sendiri tanpa perlu bergantung kepada kerajaan untuk mengenakan sekatan tertentu,” katanya.

Dr. Timothy berkata, pergerakan rakyat tidak boleh disekat untuk selama-lamanya, sebaliknya rakyat perlu diingatkan untuk lebih berwaspada dan mengambil langkah berhati-hati bagi mengurangkan risiko jangkitan wabak Covid-19 dalam kalangan masyarakat.

Antara langkah yang boleh diambil adalah memastikan tiada perkumpulan secara besar-besaran di kawasan tertutup yang tidak mempunyai saluran pengudaraan yang baik.

Amalan kebiasaan baharu seperti menjaga jarak fizikal, memakai pelitup muka serta memastikan hanya individu yang lengkap divaksin sahaja dibenarkan berada dalam mana-mana premis.

Di samping itu, jauhkan diri daripada individu yang bergejala bagi mengurangkan risiko jangkitan.

Jelas beliau, amalan kebiasaan baharu sebegini akan membantu usaha kerajaan beralih kepada fasa endemik dengan jangkitan yang lebih terkawal.

Hari ini, sebanyak 6,323 kes positif baharu Covid-19 dilaporkan dan daripada jumlah itu, 579 kes positif dicatatkan di Sabah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya