SUNGAI PETANI: Tiada kenaikan paras air laut yang luar biasa direkodkan di kawasan persisiran pantai di tiga mukim di daerah Kuala Muda berikutan amaran kejadian air pasang besar yang dijangka bermula di Kedah sejak semalam.
Pegawai Pertahanan Awam merangkap Pengerusi Seketariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kuala Muda, Kapten (Pertahanan Awam) Azahar Ahmad berkata, berdasarkan pemantauan awal pagi tadi, pantai Kota Kuala Muda hanya mencatatkan paras air laut setinggi 1.72 meter pada pukul 1.30 pagi berbanding ramalan tiga meter.
Menurutnya, pantai Tanjung Dawai, Merbok juga mencatatkan paras air 1.82 meter berbanding paras ramalan tiga meter.
“Di Pantai Kuala Muda, pemantauan dilakukan di beberapa lokasi iaitu di Kampung Padang Salim, Kampung Hujung Matang dan Kampung Paya di mukim Kuala dan Kampung Sungai Meriam dan Kampung Sungai Yu di mukim Bukit Meriam.
“Sementara itu bagi Pantai Tanjung Dawai pula di Kampung Huma dan di Jeti Tanjung Dawai,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, pihaknya masih meneruskan pemantauan di semua lokasi yang dikenal pasti dan hebahan mengenai langkah berjaga-jaga turut dilakukan bagi memastikan semua pihak sentiasa dalam keadaan bersedia.
Katanya, terdapat jangkaan kenaikan air pasang di Tanjung Dawai di mukim Merbok jika terdapat faktor hujan di daratan dan lautan serta angin dari lautan ke daratan.
“Ia dijangka setinggi 3.1 meter pada esok, 3.1 meter pada Sabtu, 3.0 meter pada Ahad dan 2.9 meter pada Isnin,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE