Tiada individu meninggal akibat vaksin Covid-19 - Utusan Malaysia

Tiada individu meninggal akibat vaksin Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tiada individu yang meninggal dunia akibat kesan menerima vaksin Covid-19.

Memaklumkan perkara itu, Timbalan Menteri Kesihatan II, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, catatan itu adalah sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bermula pada 24 Februari hingga Rabu lalu.

Jelas beliau, rekod tersebut adalah berdasarkan penilaian kasualiti dijalankan Kementerian Kesihatan terhadap impak pemberian vaksin Covid-19.

“Daripada jumlah kes serius yang diterima setakat ini, terdapat 519 laporan merekodkan kes kematian dalam kalangan penerima vaksin Covid-19.

“Namun begitu, selepas penilaian kasualiti dijalankan, tiada kes kematian dapat dikaitkan secara langsung dengan vaksin Covid-19 yang diberikan setakat ini,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof (PN-Alor Gajah) meminta kerajaan menjelaskan langkah keselamatan Kementerian Kesihatan bagi memastikan vaksin diterima bersesuaian dengan penerima dan bentuk pampasan sekiranya terdapat kesan sampingan.

Mengulas lanjut, Aaron berkata, setakat ini belum ada permohonan Bantuan Khas Kewangan Kesan Mudarat Vaksin Covid-19 yang diluluskan kepada penerima vaksin itu.

“Kementerian Kesihatan menerima 22,132 laporan kesan sampingan melalui sistem pelaporan sedia ada, bersamaan 0.45 laporan bagi setiap 1,000 dos vaksin yang diberikan.

“Daripada jumlah itu, 1,483 laporan atau 0.03 bagi setiap 1,000 dos vaksin, dikategorikan sebagai serius, yang mana penerima vaksin menerima rawatan di hospital untuk pemantauan dan rawatan lanjut selama beberapa hari.

“Semua kes dikategorikan sebagai serius disiasat secara menyeluruh dan terperinci oleh fasiliti kesihatan, dan laporannya diserahkan kepada Jawatankuasa Farmakovigilans Khas Vaksin Covid-19 (JFK) untuk penilaian kasualiti atau hubung kait antara kesan sampingan dan vaksin yang diambil,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya