Setahun lamanya penulis berusaha mendapatkan Idris Khan untuk dipotretkan sebagai penghias muka depan sisipan Pancaindera buat kali ini.
Bukannya dia berlagak atau sombong, cuma keadaan sebelum ini tidak begitu mengizinkan dengan kekangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Malah, ada ketikanya Idris sedang menjalani penggambaran di luar kawasan.
Akhirnya pelakon yang pemurah dengan senyuman itu, menyambut baik undangan untuk menjayakan sesi fotografi di pejabat Media Mulia Sdn. Bhd. dengan tangan terbuka.
Ketika hadir di pejabat Mingguan Malaysia, dia masih orang yang sama ketika penulis mengenalinya di awal pembabitannya sebagai seorang pelakon. Personalitinya ramah dan mesra.
Membuka panggung bertanyakan perkhabaran hidupnya, jejaka kelahiran Libya, Afrika Utara itu berkongsi, dia sedang sibuk mengusahakan perniagaan dalam sektor teknologi sementelah aktif berlakon.
“Alhamdulillah khabar baik (sambil melemparkan senyuman). Selain berlakon saya sedang mengusahakan syarikat teknologi iaitu Halaltech.
“Secara ringkasnya menjalankan perniagaan yang berhubung kait dengan isu berkaitan produk halal dan saya memfokuskan untuk mencari jalan penyelesaian,” tutur Idris yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Perniagaan Antarabangsa dari HELP Universiti itu.
Tambah pemilik nama Idris Khan Abdul Ghaffar Khan ini, perniagaan yang baru sahaja berusia setahun itu bakal melancarkan satu aplikasi yang diberi nama Halmart tidak lama lagi.
Menyelami pemikiran jejaka berusia 32 tahun itu mengenai perniagaannya, idea untuk membangunkan syarikat itu tercetus apabila dia mula menyedari pada setiap destinasi pelancongan yang dituju, dia dapat mengenal pasti permasalahan sesuatu perkara yang berlaku dan timbul jalan penyelesaian yang dirasakan itulah jawapannya.
“Saya ini seorang yang suka melancong dan selalu perasan bila ada kekurangan tentang apa-apa sahaja, saya akan fikirkan mungkin apakah penyelesaiannya,” katanya.
Idam karya epik
SENGAJA saya layangkan pertanyaan mengenai pelakon berwajah jambu ketika ini yang semakin mendapat tempat di layar kaca sebagai peneraju utama.
Seraya tersenyum Idris berpandangan, industri seharusnya meneliti pelakon yang selayaknya.
Baginya, jika trend sebegitu terus dibiasakan, maka apakah yang akan terjadi pada industri perfileman kelak? Malah katanya, penonton suka melihat stail dan wajah baharu.
“Kalau sebelum-sebelum ini hero lebih suka yang muka jantan. Bagi saya, trend selalu berubah, mungkin selepas ini lain pula penerimaan penonton.
“Kena faham juga kedua-dua belah pihak. Stesen ada yang menaja dan dalam masa sama mahukan pelakon pengikut yang ramai. Kalau industri seni sudah tentu mahukan yang boleh beraksi di depan kamera.
“Saya percaya kalau kedua-dua belah pihak boleh berbincang mesti berhasil. Pilihan pelakon bukan semata pengikut ramai, ada saja yang pengikut ramai dan punya wajah jantan serta berlakon bagus,” jelasnya.
Tambahnya, kalau tetapkan sistem caranya betul, pasti akan mendapat kriteria yang tepat.
“Seandainya tangkap muat sahaja, orang yang ada pengikut ramai pun boleh mencuba nasib dan hasilnya mungkin tidak memberangsangkan,” katanya.
Berbicara tentang kerjaya lakonan, drama Uda & Dara, Duda Terlajak Laris dan Pinggan Tak Retak, Nasi Tak Dingin antara karya yang meledakkan nama Idris.
Kali ini penulis simpankan sahaja soalan klise mengenai watak apa lagi yang ingin dia bawa. Sebaliknya penulis melayangkan pertanyaan, karya apa yang sebenar-benarnya Idris nantikan?
Tanpa berfikir panjang dan yakin, seakan-akan penulis ini ibaratnya produser yang sedang menawarkan job dia menjawab;
“Sejujurnya saya menantikan karya epik atau pun biografi, contohnya melakonkan watak Allahyarham Tan Sri P. Ramlee,” ujarnya.
Sebagai informasi, karya-karya epik adalah naskhah yang melibatkan kos besar dan para pelakon yang ramai. Contohnya, filem Merong Mahawangsa dan Puteri Gunung Ledang.
Untuk rekod, sebelum memulakan kerjaya dalam bidang lakonan, Idris sudah berada dalam bidang peragaan selama sembilan tahun. Bahkan, dia juga pernah menyertai pertandingan Hero Remaja pada 2008 dan mendapat gelaran Hero Macho dan Hero Cool.
Dalam perkembangan terbaharu, Idris baru sahaja habis penggambaran drama bersiri Saat Kau Takluk Cinta Ini, yang akan mula bersiaran pada Disember ini.
Momen refleksi diri
Satu ketika nama pelakon ini pernah mencetuskan kehangatan apabila terpalit dengan kontroversi video lucah.
Bukan hendak membangkitkan isu sudah berlalu, tetapi penulis tertanya bagaimana penerimaan seorang jejaka ini mampu dan kuat untuk terus mara tanpa ambil pusing bila namanya kerap kali dikaitkan isu sama.
Menurutnya, sebagai manusia akan sentiasa diduga dan diuji jadi terpulang kepada diri untuk terus maju atau kekal dalam momen yang menjatuhkan diri sendiri.
“Berbalik pada diri kita sendiri bagaimana menerima keadaan itu dan melihat situasi yang datang. Kita harus berfikir bagaimana untuk maju. Tiada gunanya pandang perkara lepas atau sudah terjadi.
“Hidup saya kini Alhamdulillah. Karier, ekonomi dan hubungan cinta berjalan baik. Saya sudah lakukan yang terbaik untuk fokus pada masa hadapan. Sebagai artis, akan ada sahaja yang cuba menjatuhkan kita dan cakap buruk pasal kita,” tuturnya.
Melihatkan tegas tutur katanya, cekal betul Idris. Benar-benar apa yang berlaku sedikit pun tidak menggoyahkan dirinya. Malah dia menggunakan perkara itu untuk ke depan.
“Tutup telinga sajalah, lagi pun saya ada kawan-kawan yang selalu beri motivasi dan ada satu hala yang sama. Kena kuatlah… kita ada pilihan, pemikiran adalah bahasa minda kita dan perasaan adalah bahasa tubuh kita.
“Apa yang kita fikir dan rasa, itu yang akan jadi realiti kita. Personaliti kita, akan jadi personaliti realiti. Contoh, kalau tiada mood dan malas makan sebagainya, hasilnya akan macam itulah.
“Sebab itu pentingnya selalu ada pemikiran yang positif, tengok dan dengar program-program ilmiah. Selain itu, tengok cermin puji diri sendiri, jangan cakap yang negatif. Nanti tubuh badan kita akan terhasillah aura-aura yang tidak menyenangkan,” akhirinya.