PUTRAJAYA: Selepas membuat pertimbangan daripada segala aspek, kerajaan memutuskan untuk tidak memberi sebarang ganjaran kepada jaguh lontar peluru para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli termasuklah menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) selepas penyertaannya di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 dibatalkan, Ogos lalu.
Ziyad, 31, terlepas emas dan rekod dunia yang dilakukannya di Tokyo pada 31 Ogos lalu dengan catatan 17.94 meter (m) selepas penyertaannya diklasifikasikan sebagai Did Not Start (DNS) atau tidak bermula susulan protes yang dilakukan Ukraine disebabkan kelewatannya tiba di bilik menunggu sebelum pertandingan dimulakan.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bagaimanapun, berkata pihaknya akan berhubung dengan atlet berkenaan bagi membincangkan mengenai ganjaran yang tiada kena mengena dengan peruntukan kewangan kerajaan.”Ada pihak-pihak yang ingin memberikan tawaran kepada Ziyad agar kejayaan yang diperoleh tetapi tidak diterima itu dapat kita beri sedikit ganjaran.
“Apa bentuk ganjaran, saya tidak boleh umumkan kecuali Ziyad sendiri yang mahu sampaikan. Namun, saya pun belum sampaikan kepada Ziyad mengenai perkara ini,” katanya ketika sidang media selepas Majlis Sambutan Hari Integriti Dan Pelancaran Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) Peringkat Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di sini, hari ini.
Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ti Lian Ker dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki.
Terdahulu, Ahmad Faizal memberitahu kerajaan menerusi KBS sedang mempertimbangkan bentuk ganjaran yang setimpal untuk diberikan kepada Ziyad biarpun emas dan rekod dunia yang dilakarnya dibatalkan.
Hasil siasatan dijalankan Jawatankuasa Siasatan Dalaman yang dipengerusikan Tan Sri Borhan Dolah mendapati Ziyad dan jurulatihnya, Mohd Faizol Harun tidak dapat membuktikan mereka tiba pada pada waktu yang ditetapkan untuk pendaftaran di bilik menunggu biarpun kedua-duanya menganggap mereka tiba tepat pada waktunya.
Ditanya adakah keputusan untuk tidak memberi ganjaran kepada Ziyad sebagai sebahagian hukuman dikenakan ke atas atlet berkenaan Ahmad Faizal menafikan perkara tersebut.
“Janganlah kita kata ia sebagai hukuman. Ia lebih kepada insiden malang yang berlaku. Kalau mahu bagi hukuman, pihak kita pun tidak dapat membuktikan yang mereka melakukan kesilapan dan mereka pula yang mengatakan tiba tepat pada masanya juga gagal membuktikan perkara berkenaan.
“Perkara yang berlaku ini perlu dijadikan pengajaran agar tidak berlaku di masa akan datang. Tahun depan kita ada tiga kejohanan besar iaitu Sukan SEA, Sukan Asia dan Sukan Komanwel, kita akan pastikan semua pegawai kita daripada menteri, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, ketua kontinjen, pegawai dan atlet mesti faham tanggungjawab masing-masing sebelum pergi ke kejohanan besar ini,” katanya.