Tetapkan peratusan ke arah endemik bersifat teknikal  - Utusan Malaysia

Tetapkan peratusan ke arah endemik bersifat teknikal 

NOOR AZMI GHAZALI 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak menetapkan peratusan tertentu terhadap pencapaian tujuh indikator utama bagi membolehkan negara memasuki fasa endemik kerana disifatkan begitu teknikal dan perlu penelitian lebih mendalam. 

Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, untuk mencapai kesemua indikator tersebut sebelum negara boleh mengisytiharkan endemik adalah bergantung kepada tindakan yang diambil bermula sekarang. 

Justeru, beliau mengulangi kenyataannya di Dewan Rakyat kelmarin bahawa tiga indikator utama menjadi rujukan sebelum berlaku peralihan fasa daripada pandemik ke endemik iaitu transmisi Covid-19, pengendalian kes dan kapasiti hospital untuk respons Covid-19. 

“Hal ini bergantung kepada apa yang kita lakukan sekarang, kita tahu rawatan di hospital, kadar kematian dan vaksinasi dan kawalan sempadan (masih belum selesai). Hanya dengan mempertimbangkan kesan kumulatif ini baharulah kita boleh buat (isytihar endemik). 

“Apa yang saya sebutkan semalam mungkin mengelirukan orang ramai juga. Kerana itu saya sebut bahawa kita ada tiga perkara yang perlu dipertimbang sebelum sedia beralih fasa. 

“Kerajaan mahu memperkasakan kesiapsiagaan, menjaga rakyat dan memberikan maklumat yang telus sekaligus membantu komuniti menangani isu ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Konvensyen Integriti Nasional 2021 (KIN2021), di Menara Integriti, ibu negara hari ini. 

Beliau berkata demikian mengulas soalan pemberita mengenai tujuh indikator ditetapkan Kementerian Kesihatan pada 1 November lalu sebelum negara bersedia menjalani fasa endemik dalam masa yang sukar dipastikan. 

Tujuh indikator tersebut merangkumi jumlah penggunaan katil hospital, unit rawatan rapi (ICU) dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC); kapasiti ujian di makmal; kadar positif Covid-19, jumlah petugas Kementerian Kesihatan yang dijangkiti serta jumlah kemasukan pesakit Covid-19 ke wad; jumlah kematian harian dan purata tujuh hari; kadar insiden kes harian serta kadar vaksinasi populasi keseluruhan adalah indikator yang ditetapkan. 

Beliau bagaimanapun tidak mengulas peratusan dan indikator yang sudah dipenuhi sekaligus menyebabkan hala tuju ke arah endemik masih kabur. 

Kerajaan sebelum ini menjangkakan fasa endemik akan bermula pada akhir Oktober lalu dengan kadar vaksinasi negara ini sudah mencapai 80 peratus namun hingga kini masih tiada sebarang petunjuk melainkan merujuk kepada tiga indikator utama disebutkan Noor Azmi.  – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya