PETALING JAYA: Masyarakat perlu sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan membiasakan diri dalam norma baharu kerana vaksin hanya berkesan untuk mencegah jangkitan pada jangka masa pendek, manakala keberkesanan vaksin untuk jangka masa panjang masih tidak diketahui.
Kepatuhan SOP itu cukup penting tatkala penyebaran Varian Delta yang berbahaya masih belum dapat dihalang sepenuhnya oleh Kementerian Kesihatan (KKM) walaupun kini hampir keseluruhan rakyat sudah menerima vaksin.
Profesor Epidemiologi dan Kesihatan Awam, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya, Dr. Sanjay Rampal berkata, kegagalan orang ramai mematuhi SOP bakal menyumbang kepada peningkatan kembali kes harian Covid-19.
Jelasnya, vaksin adalah sesuatu yang baharu dan pengumpulan data terhadap kesan vaksin untuk jangka panjang masih dalam kajian.
“Apa yang pasti adalah vaksin akan mengurangkan risiko pesakit untuk memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) atau alat bantuan pernafasan.
“Kerajaan juga perlu lebih perhatian kepada golongan yang berumur atau berisiko tinggi supaya mereka mendapatkan vaksin penggalak kerana golongan tersebut amat berisiko tinggi untuk menghadapi komplikasi akibat varian Delta,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Terdahulu, akhbar ini pernah melaporkan, sebanyak 43 lagi kes varian baharu virus SARS-CoV-2 yang kesemuanya adalah varian yang membimbangkan (VOC) iaitu varian Delta (B.1.617.2).
Dr. Sanjay berkata, kemungkinan sebahagian besar rakyat akan mendapat jangkitan Covid-19 dalam beberapa tahun yang akan datang akan tetapi ia tidak menyebabkan penyakit serius daripada jangkitan tersebut.
“Kes harian kemungkinan akan meningkat dari 5,000 ke 15,000 dalam norma baharu ini. Ia mungkin juga meningkat ke paras lebih tinggi selepas cuti awam dan perayaan besar, tetapi kes harian akan kembali norma selepas perkhidmatan pencegahan oleh Pejabat Kesihatan Daerah. Kes harian norma baharu ini akan berkurangan dengan masa apabila lebih banyak individu dijangkiti,” katanya.
Menurutnya, melalui kajian MOH-RECoVaM, pihaknya menjangkakan kadar penyakit teruk dan kematian akan rendah dalam populasi masyarakat yang sudah mengambil vaksin, anggarannya adalah satu kematian daripada 1,000 kes.
Katanya, KKM juga perlu kekal bersedia dan mengkaji keadaan semasa terhadap keperluan ICU dan alat bantuan pernafasan serta katil.
Tambahnya, ia adalah langkah yang lebih efektif untuk meningkatkan kapasiti perkhidmatan kesihatan awam, kesihatan primer dan hospital berbanding melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau sekatan perjalanan,” katanya.
“Kementerian perlu membuat percaturan yang jelas bagi mengekalkan kepercayaan rakyat terhadap kementerian itu supaya matlamat jangka masa panjang untuk pulih daripada penularan ini dapat dilakukan bersama-sama,” ujarnya. – UTUSAN