PORT DICKSON: Sejak penularan Covid-19, rumah-rumah kebajikan termasuk rumah orang-orang tua, tidak lagi selalu dikunjungi pelawat.
Jika sebelum ini, menjelang sesuatu sambutan perayaan, rumah-rumah kebajikan ini meriah dan dikunjungi banyak pihak yang mahu berkongsikan keceriaan dengan para penghuninya, namun kini ia sebaliknya.
Begitu juga yang berlaku di Rumah Orang Tua Jimah di sini, sambutan Deepavali buat 17 orang penghuni rumah kebajikan tersebut tahun ini hanya sederhana sahaja.
V. Papati, 74, satu-satunya penjaga di Rumah Orang Tua Jimah sejak 25 tahun yang lalu berkata, sebelum ini mereka sering menerima pelawat untuk menyambut Deepavali bersama tetapi tidak lagi sekarang.
“Penghuni rumah ini adalah keluarga besar saya. Setiap Deepavali, saya akan menyediakan juadah perayaan seperti kari kambing, tosai, idli dan macam-macam lagi jenis makanan untuk mereka nikmati.
“Sebelum ini kami sering menerima pelawat untuk menyambut Deepavali bersama, tetapi tidak lagi sekarang, sejak pandemik ini,” katanya ketika ditemui pada Program Sentuhan Kasih Deepavali 2021 Petronas di sini.
Yang hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chuah, Datuk Yek Diew Ching, Penolong Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Sembilan, Zulyadain Limat dan Pengurus Besar Petronas Wilayah Selatan, Sazli Zakaria.
Petronas menerusi cabang tanggungjawab sosial korporatnya iaitu Yayasan Petronas menerusi program telah mengedarkan bantuan bekalan makanan dan kit penjagaan serta kebersihan diri kepada 80 keluarga kurang bernasib baik serta 17 penghuni rumah kebajikan di daerah ini melalui JKM.
Bantuan yang sama berserta barangan tambahan seperti kerusi roda, termometer, lampin dewasa, dan susu tepung juga telah diserahkan kepada Rumah Orang Tua Jimah.
Sementara itu, Sazli berkata, diharapkan sumbangan tersebut sedikit sebanyak dapat menceriakan sambutan Deepavali para penerima di samping mengurangkan beban mereka untuk persediaan menyambut pesta cahaya Khamis ini. -UTUSAN ONLINE