Tembikai merah tanpa biji diramal cecah harga RM5.09/kg hujung bulan - Utusan Malaysia

Tembikai merah tanpa biji diramal cecah harga RM5.09/kg hujung bulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menjangkakan harga tembikai merah tanpa biji mungkin mencecah paras paling tinggi menjelang akhir bulan ini.

Unjuran tersebut hasil tinjauan agensi berkenaan di pelbagai outlet pemasaran borong dan runcit utama di ibu negeri seluruh Semenanjung baru-baru ini.

“Ada berlaku peningkatan harga komoditi buah ini ke paras maksimum kebiasaan pasaran peringkat runcit iaitu RM3.35 sekilogram,” kata FAMA menerusi akaun sosial rasminya.

Agensi itu turut memaparkan graf rajah ramalan harga yang menunjukkan buah itu pernah mencecah skala minimum RM2.60 pada 11 Oktober lalu sebelum melonjak semalam.

Justeru, harga purata runcit direkodkan itu secara teknikal sudah melepasi skala maksimum RM3.20 pada 21 Oktober dan diunjur terus meningkat hujung bulan ini kepada RM5.09.

FAMA turut melaporkan Sarawak mencatatkan kadar harga paling tinggi buah tersebut iaitu RM5 sekilogram diikuti Melaka (RM4.50), Pulau Pinang (RM4) dan Selangor (RM3.60).

Bagaimanapun, Kelantan dan Pahang masih murah iaitu masing-masing RM2.50 disusuli Negeri Sembilan sebanyak RM2.75 serta Perak dan Kedah yang sama harganya iaitu RM3.

Jelas FAMA, sementara negeri-negeri yang lain pula mencatatkan harga purata runcit RM3.50 sekilogram, namun analisis itu adalah pemerhatian tanpa memenuhi piawaian statistik rasmi.

Sekiranya perbandingan dibuat berdasarkan tahun ke tahun, harga buah berkenaan didapati telah pun menokok 18 peratus lebih tinggi berbanding tempoh yang sama pada tahun lepas.

“Maklumat diperoleh dari pembekal menyatakan buah ini semakin kurang sebab kebanyakan ladang berada fasa akhir pengeluaran sebelum musim monsoon Timur Laut,” jelas FAMA.

Sebahagian besar pokok juga kurang produktif mengeluarkan hasil dan seterusnya kuantiti dan kualiti pengeluaran turut terjejas terutama ladang di Pantai Timur Semenanjung.

Bahagian Maklumat Pasaran FAMA juga menyatakan bahawa harga buah ini dari jenis gred premium diunjurkan terus meningkat naik melepasi skala maksimum sehingga akhir bulan ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya