Teladan baik perkasa bahasa Melayu - Utusan Malaysia

Teladan baik perkasa bahasa Melayu

TUAN IBRAHIM TUAN MAN menyampaikan kenyataan negara di Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP-26) di Glasgow, Scotland. - FB TUAN IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tindakan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang memilih menggunakan bahasa Melayu di Persidangan Perubahan Iklim Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 2021, baru-baru ini adalah satu satu teladan baik bagi memperkasakan bahasa itu di pentas antarabangsa.

Ketua Satu Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), Datuk Zainal Abidin Borhan berkata, pihaknya berasa sangat bangga dengan tindakan Tuan Ibrahim dan menganggap beliau boleh dilihat sebagai wira dalam memartabatkan kedudukan bahasa Melayu di mata dunia. 

“Tindakan Tuan Ibrahim wajar dicontohi  semua pemimpin dari Sultan dan Raja-Raja Melayu hingga ke Perdana Menteri serta para perwakilan negara di persada antarabangsa

“Adalah wajar untuk kerajaan memastikan bahawa bahasa Melayu digunakan atas dasar bahasa kebangsaan dalam konteks harian dan urusan. Ini adalah kerana selama ini bahasa Inggeris atau Mandarin telah diberikan keutamaan di syarikat perbadanan milik kerajaan serta swasta,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan, tindakan Menteri Alam Sekitar dan Air itu menggunakan bahasa Melayu dalam menyampaikan kenyataan negara di PBB 2021 wajar dicontohi pemimpin lain di Malaysia. 

KAMAL SHUKRI ABDULLAH SANI

Sementara itu, Ketua Biro Hubungan Luar Persatuan Linguistik Malaysia (PLM), Kamal Shukri Abdullah Sani berkata, sudah tiba masanya pemimpin-pemimpin Malaysia menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantara di dalam pelbagai urusan sebagai langkah memartabatkan kedudukannya di negara ini. 

Beliau menambah, industri terjemahan bahasa Melayu tidak boleh maju jika bahasa Melayu tidak digunakan di pelbagai peringkat urusan disebabkan penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa perantaraan selama ini di sebarang persidangan  peringkat nasional dan antarabangsa.

Menurutnya, industri terjemahan bahasa Melayu hanya boleh berkembang maju jika perkhidmatan terjemahan bahasa Melayu digunakan dalam kebanyakan urusan nasional dan antarabangsa. 

Dapat pada itu, Pensyarah Kanan Pusat Kajian Bahasa dan Linguistik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Nor Hashimah Jalaluddin berkata, tindakan Tuan Ibrahim harus dipuji dan menjadi contoh baik kepada anak-anak muda kerana tindakan tersebut  berani dan amat membanggakan. 

Beliau memberitahu, pendidikan memainkan peranan besar bagi memupuk semangat cinta bahasa kebangsaan dan menyatukan masyarakat Malaysia dengan satu aliran pendidikan iaitu aliran bahasa Melayu.  

Pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan, Uthaya Sankar SB pula berkata, bahasa Melayu di sekolah-sekolah selama ini diajar secara linguistik. 

Oleh itu, katanya, pelajar tidak diajar untuk mencintai bahasa serta penghayatan penggunaannya dalam urusan seharian. 

“Oleh kerana bahasa Melayu di ajar secara linguistik sahaja, ia tidak menimbulkan rasa sayang dan cinta terhadap bahasa tersebut disebabkan  tiada unsur penghayatan penggunaan bahasa tersebut di kalangan murid-murid dan juga masyarakat secara umum. 

“Di sekolah juga, kita hanya belajar menghafal untuk lulus peperiksaan bahasa Melayu kerana ia merupakan mata pelajaran yang wajib lulus pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Oleh itu,  kita sudah sebenarnya gagal sejak awal lagi dalam memupuk rasa cinta terhadap Bahasa Kebangsaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya