GEORGETOWN: Tapak Penjaja Sementara (TPS) Lorong Baru di sini dan sebuah kedai kopi di kawasan berkenaan ditutup sementara bermula semalam berikutan terdapat kes positif Covid-19 dikesan di situ.
Menurut kenyataan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), sebanyak 12 kes dikesan melibatkan peniaga dan pembantu gerai di kawasan berkenaan.
“Penutupan tapak berkenaan mula berkuat kuasa semalam (23 November) sehingga satu tarikh yang akan diumumkan kelak bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19.
“Kerja-kerja disinfeksi dan sanitasi akan dijalankan di tapak terlibat dengan segera,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kenyataan itu memaklumkan, arahan penutupan tersebut melibatkan 25 gerai di TPS Lorong Baru dan sebuah kedai kopi yang mana waktu beroperasi adalah dari pukul 4 petang hingga 10 malam.
“Pihak MBPP menyeru peniaga-peniaga untuk mematuhi arahan penutupan sementara ini.
“Tindakan boleh diambil ke atas sesiapa yang melanggari arahan berkenaan mengikut undang-undang dan peraturan yang ditetapkan, termasuk penutupan premis dan pembatalan lesen,” katanya.
Tambahnya, orang ramai diminta untuk mengambil perhatian terhadap arahan penutupan itu dan dinasihatkan supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pada setiap masa bagi mengelak jangkitan Covid-19 terutama melalui komuniti.
“Persatuan-persatuan bagi semua pasar dan kompleks makanan di bawah seliaan MBPP perlu memastikan kawalan pengunjung dijalankan dengan baik pada waktu perniagaan,” katanya.
Tambahnya, tindakan penguatkuasaan termasuk penutupan premis akan dibuat sekiranya terdapat pelanggaran SOP.
“MBPP juga mengingatkan orang awam bahawa individu berstatus ‘risiko tinggi’ (high risk) di dalam aplikasi MySejahtera tidak dibenarkan untuk memasuki premis pasar dan kompleks makanan MBPP,” katanya.