PUTRAJAYA: Satu kawasan perumahan di Pahang bakal dikenakan sekali lagi Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama tempoh 14 hari berkuat kuasa Rabu ini.
Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md. Saad berkata, lokaliti tunggal tersebut hanya melibatkan Taman Amalina Lestari dalam Mukim Gali di Raub.
Kawasan berkenaan pernah dikenakan PKPD dari 30 Julai sehingga 12 Ogos lalu malah merekodkan dua kes kematian warga emas masing-masing pada 9 Ogos dan 11 Ogos lepas.
Bagaimanapun jelas beliau, PKPD perlu dikenakan sekali lagi di taman tersebut susulan trend jangkitan baharu wabak Covid-19 hasil penilaian risiko dilakukan Kementerian Kesihatan.
Sementara itu tambahnya, satu lagi lokaliti di Lipis di negeri tersebut yang sepatutnya berakhir PKPD esok, namun terpaksa disambung sehingga 16 November depan.
Lanjutan itu melibatkan Pos Betau yang mengandungi 18 perkampungan masyarakat Orang Asli dari suku Semai dalam Mukim Ulu Jelai yang telah dikenakan PKPD pada 20 Oktober lalu.
Penempatan itu didiami hampir 3,000 orang dan terletak 70 kilometer dari Kuala Lipis serta pernah merekodkan lebih 20 kes positif sejak September lalu daripada Kluster Sungai Jelai.
Ia meliputi Kampung Meter, Kampung Sentoi, Kampung Sarang, Kampung Cekai, Kampung Limau, Kampung Lanchang, Kampung Samak, Kampung Sat, Kampung Kabang, Kampung Kuala Kenik, Kampung Miluk, Kampung Ulu Miluk, Kampung Celang, Kampung Bertam, Kampung Jelengok, Kampung Tual, Kampung Belida Baru dan Kampung Simoi Baru.
Sehubungan perkembangan terbaharu itu, Rodzi memaklumkan bahawa tiada lokaliti yang akan ditamatkan PKPD pada esok seperti yang telah dijadualkan oleh MKN sebelumnya.