KUALA LUMPUR : Kuala Lumpur City (KL City) mengesahkan tempat ke separuh akhir serta turut mengekalkan rekod tanpa kalah di laman sendiri apabila melakar kemenangan 1-0 ke atas Selangor dalam aksi suku akhir kedua Piala Malaysia, sebentar tadi.
Keputusan itu menyaksikan The City Boys mara dengan agregat 3-0 selepas KL City melakar kemenangan 2-0 pada suku akhir pertama di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Ahad lalu.
Pada aksi di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Selangor yang turun dengan misi memburu gol awal bermula garang menerusi percubaan penyerang dari Myanmar Hein Htet Aung pada minit ketiga namun bola rembatannya sekadar mengegar tiang gol tuan rumah.
Jentera serangan yang diketuai Ifedayo Olusegun terus buntu untuk menembusi benteng tuan rumah yang kental bertahan, sebaliknya menerusi satu serangan balas pantas penyerang sensasi KL City Romel Morales hampir membuka tirai jaringan namun tandukannya pada minit ke-30 tidak menepati sasaran.
Bersambung babak kedua, Red Giants terus meningkatkan tempo permainan untuk memburu gol pembukaan dan hampir memecah kebuntuan gol namun rembatan kencang Ifadeyo pada minit ke-59 berjaya dinafikan penjaga gol tuan rumah Kevin Mendoza.
Menerusi gerakan Edward Lambert, disusuli umpanan tandukan kapten KL City Paulo Josue sebelum disudahkan Morales untuk membuka tirai jaringan pada minit ke-50 bagi melengkapkan gol ke-10 dalam kempen Piala Malaysia musim ini.
Pemain gantian Fakrul Aiman Sidid hampir mencetak nama sebagai penjaring namun percubaannya berjaya dinafikan penjaga gol Selangor Khairulazhan Khalid pada minit ke-83.
Kemenangan itu membolehkan KL City menempah pertemuan dengan Melaka United pada aksi separuh akhir yang akan berlangsung pada 22 dan 26 November ini.