PUTRAJAYA: Tindakan dua lelaki warga tempatan yang menyeludup empat ekor helang di tempat bagasi bas ekspres dipatahkan dalam satu operasi sekatan jalan raya di laluan Kuantan-Johor Bahru dekat Kampung Leban Chondong, Kuala Rompin, Pahang, baru-baru ini.
Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) memaklumkan, suspek yang secara kebetulan menaiki pengangkutan awam tersebut turut ditahan dalam operasi yang mendapat bantuan kerjasama erat daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Jabatan Pengangkutan Jalan negeri berkenaan.
“Empat ekor unggas spesies helang itu dibawa oleh pasangan suspek terbabit langsung tanpa mempunyai sebarang dokumen penyimpanan yang sah dikeluarkan Perhilitan,” kata kenyataan itu.
Lebih menyedihkan, seekor anak burung tersebut yang belum matang kelihatan lemah dipercayai diambil suspek dari hutan dan kemudian dipisahkan daripada kasih ibu induknya.
Satu laporan polis kemudian dibuat berhubung operasi tersebut dan kesemua barang rampasan berkenaan dipindahkan ke Pejabat Perhilitan Pahang untuk siasatan susulan. – UTUSAN ONLINE