IPOH: Kuching City FC tetap mengecap kepuasan biarpun kemenangan 1-0 ke atas Perak FC dalam perlawanan Piala Malaysia di Stadium Perak semalam sudah tidak bermakna.
Malah, jurulatih Kuching City, Irfan Bakti Abu Salim berkata, kemenangan pertama dalam kempen Piala Malaysia itu tetap bermakna buat pasukannya.
“Sebelum perlawanan saya beritahu pemain betapa kami perlu menang untuk dibawa pulang ke Sarawak.
“Walaupun perlawanan ini sudah tidak mempunyai erti kerana kami sudah terkeluar dari saingan ke suku akhir tetapi pemain berusaha gigih untuk mencatat kemenangan.
“Kemenangan ini tetap penting kerana ia mengenai maruah pasukan,” katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan semalam.
Irfan berkata, walaupun hanya kemenangan 1-0 tetapi ia yang pertama dalam trofi unggul itu.
“Kami layak bertanding dalam Piala Malaysia sekali lagi dan diletakkan bersama tiga pasukan Liga Super iaitu Terengganu, Selangor dan Perak.
“Ia pengalaman berguna buat pemain saya dalam kami membuat persiapan bagi tahun hadapan,” katanya.
Lebih penting, katanya, kemenangan itu pasti menjadi motivasi buat anak buahnya bagi menghadapi Terengganu FC di Kuching, Rabu ini.