Takkanlah nak berdiri tegak? Bukannya lagu Negaraku - Baby Shima - Utusan Malaysia

Takkanlah nak berdiri tegak? Bukannya lagu Negaraku – Baby Shima

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Dihimpit dengan kecaman dan kutukan netizen beberapa hari ini selepas dituduh dahagakan perhatian, penyanyi, Baby Shima, melahirkan rasa hairan mengapa orang ramai sengaja mencari kesalahan dirinya di media sosial.

Menganggap dirinya tidak pernah mengganggu sesiapa atau menimbulkan masalah pada mana-mana pihak, Shima mengaku tidak tahu apa salahnya di mata orang sehingga kerap kali dihina dan dikecam.

“Susah nak tutup mulut orang walaupun kita buat benda yang baik kerana di mata mereka, kita tetap salah. Satu kebaikan yang kita buat, mereka tak akan ingat. Kalau buat silap, orang akan ingat sampai bila-bila.

“Itulah netizen. Bukan saya saja. Contoh artis lain, Neelofa, dia bertutup litup pun tetap orang nak kecam. Berpurdah pun orang kecam-kecam dia. Saya tengok, mulut orang ini memang kita tak boleh tutup,”katanya.

Shima berkata demikian semasa dihubungi Utusan Malaysia semalam bagi mengulas kontroversi sekeping gambar yang tular di media sosial kelmarin yang memaparkan dia sedang bermesra dengan seorang lelaki di sebuah pusat hiburan di ibu kota.

Bagaimanapun, dalam beberapa laporan berita semalam, Shima sudah menjelaskan bahawa gambar tersebut merupakan satu daripada babak dalam penggambaran muzik video terbarunya yang berjudul Lalai.

Selain itu, Shima juga mengaku kontroversi yang berlaku bukanlah sebahagian daripada strategi pemasaran atau gimik daripada pihaknya untuk menarik jumlah penonton ke video muzik tersebut di Youtube.

“Gimik? Tak akanlah saya nak buat sesuatu yang memalukan diri sendiri. Saya ada banyak pembenci di media sosial. Saya pun tak tahu ada orang yang mengambil gambar saya secara sembunyi-sembunyi di set tersebut.

“Nak menampakkan saya ini berkelakuan buruk. Saya akui, hal seperti ini membuatkan diri rasa lebih tertekan sehingakan terpaksa berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan rawatan kesihatan.

“Saya sampai sakit kepala yang teramat sangat, sesuatu yang belum pernah saya alami. Doktor ada berikan ubat penenang dan minta saya berehat, tenangkan fikiran sebab boleh mengundang bahaya,”katanya.

Dalam pada itu, ditanya kemungkinan dia sedar bahawa terdapat banyak komen daripada warga net yang tidak suka gelagatnya beraksi dan menari galak di media sosial, Shima ada jawapan balas.

“Saya ini, penyanyi dangdut. Memanglah kalau beraksi di media sosial atau di hadapan kamera saya joget yang bersesuaian ikut lagu begitu. Tak akanlah saya nak berdiri tegak sahaja? Bukannya lagu Negaraku…

“Entahlah, kita buat apa sahaja pun tetap tak kena di mata netizen ini. Ada sahaja yang tak suka. Walhal, sudah nama pun akaun saya, suka hatilah saya nak muat naik perkongsian apa pun,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN