KUALA LUMPUR: Syarikat barang kemas, Global Royalty Trading SAL (Global Royalty) dari Lubnan akan memfailkan semula saman menuntut ganti rugi AS$14.57 juta daripada Datin Seri Rosmah Mansor.
Menurut peguam yang mewakili syarikat terbabit, Datuk David Gurupatham, ia selepas mereka dapati hanya satu barangan kemas milik Global Royalty yang berada dalam simpanan pihak berkuasa.
Pada Mei 2018, pihak polis telah merampas beg-beg berisi barangan kemas dan wang tunai pelbagai mata wang dari kondominium mewah yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Pavillion Residence, Kuala Lumpur.
“Pihak kami telah memeriksa kira-kira 12,000 barangan kemas di bilik kebal Bank Negara Malaysia (BNM) selama seminggu. Hasil pemeriksaan itu, kami dapati hanya seutas gelang berlian milik Global Royalty ditemukan.
“Menurut perjanjian konsaimen, Rosmah perlu membayar nilai barangan kemas sekiranya gagal memulangkannya semula kepada Global Royalty,” katanya ketika dihubungi media.
Gelang berlian yang bernilai AS$220,000 itu merupakan antara 44 jenis barang kemas yang dituntut oleh Rosmah yang didakwa dirampas oleh pihak polis dalam skandal penyelewengan dana syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Rosmah yang merupakan pelanggan tetap Global Royalty akan meminta syarikat itu untuk menghantar barangan kemas kepadanya bagi dinilai dan dibeli serta dibayar olehnya atau oleh pihak ketiga.
Syarikat itu mendakwa adakalanya, Rosmah akan meminjam barang kemas itu, dan dia atau ejennya akan menerima barangan berkenaan di Kuala Lumpur, Singapura atau Dubai.
Menurut Gurupatham, Global Royalty pernah memfailkan tuntutan yang sama pada 26 Jun 2018 namun menarik semula saman itu pada Oktober 2019.
Jelasnya, tuntutan tersebut ditarik balik kerana perlu memastikan sama ada 44 barangan kemas termasuk kalung berlian, anting-anting, cincin, gelang dan tiara yang setiap satu bernilai antara A$124,000 dan AS$925,000 benar-benar berada dalam simpanan pihak berkuasa.
“Tetapi kini kita telah memastikan hanya satu sahaja ada dengan pihak berkuasa jadi secara tidak langsung ia menunjukkan 43 lagi barangan kemas berada dengan Rosmah. Oleh sebab itu, kami memfailkan semula saman ini,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Faten Hadni Khairuddin ketika dihubungi memaklumkan Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 23 hingga 27 Mei 2022 untuk pendengaran tuntutan pihak-pihak terhadap kesemua barangan yang dirampas daripada kondominium mewah itu.