JOHOR BAHRU: Seorang wanita merayu menjejaki ibu bapa kandung kepada anak angkatnya bagi membantu proses pengambilan kanak-kanak itu selepas kedua-duanya dikenali sebagai Tan dan Quay kini telah menghilangkan diri dan tidak dapat dihubungi lagi.
Suri rumah, Koh Siew Moi, 55, berkata, pasangan itu meninggalkan anak perempuan mereka yang kini berusia lima tahun ketika dia berusia empat bulan kepadanya setelah kedua-dua mereka sibuk bekerja di sebuah restoran di Bukit Indah, dekat sini pada 2016.
Jelas Siew Moi, dia diperkenalkan kepada ibu bapa kanak-kanak itu oleh rakannya yang sedang mencari pengasuh.
“Pada waktu itu, saya terfikir untuk menjadi pengasuh sambilan, ini kerana anak-anak saya sudah besar, bahkan masing-masing sudah bekerja. Anak ini diserahkan kepada saya pada Julai 2016 dengan ibu bapanya bersetuju membayar antara RM1,600 dan RM2,000 sebulan.
“Namun, pertemuan bersama pasangan itu adalah kali terakhir saya berjumpa mereka,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Taman Sierra Perdana, di sini.
Wanita itu memberitahu, ibu bapa kanak-kanak itu tidak pernah datang kembali ke rumahnya biarpun dimaklumkan anaknya jatuh sakit ketika berada dalam jagaannya.
“Saya ingin bertemu dengan mereka, namun ada sahaja alasan diberikan untuk mengelak perkara itu. Selepas hampir 10 bulan anak mereka bersama saya, mereka tidak lagi membayar keperluan anak terbabit.
“Saya mengambil keputusan untuk pergi ke tempat kerja mereka namun diberitahu kedua-duanya sudah tidak lagi datang kerja berminggu-minggu lamanya selain nombor telefon juga sudah tiada dalam perkhidmatan,” katanya.
Sementara itu, anak sulung Siew Moi, Linda Law, 28, berkata, dia pernah pergi ke alamat rumah berpandukan sijil kelahiran yang ditinggalkan pasangan itu pada 2018 tetapi tuan rumah tidak kenal atau tidak pernah berurusan dengan mereka.
Katanya, ketika mẹmbuat laporan polis, mereka dicadangkan agar menyerahkan kanak-kanak itu kepada rumah kebajikan namun tidak sanggup kerana sudah menjadi sebahagian daripada keluarganya.
“Apa yang kami mahu ibu bapa kandungnya membenarkan kami mengambilnya dengan cara yang sah bagi memudahkan proses mendapatkan kad pengenalan dan menghantar ke sekolah,” jelasnya.
Dalam pada itu, Penasihat Kami Prihatin, Syed Othman Syed Abdullah berkata, beliau telah mengatur pertemuan antara Siew Moi bersama wakil Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi menjelaskan situasi itu.
Katanya, salah satu syarat untuk mengambil anak angkat di bawah Akta Pendaftaran Pengangkatan 1952 (Akta 253) ialah sekiranya ibu bapa kandung kepada anak itu sudah berkahwin, kedua-dua mereka diperlukan untuk menandatangani surat perjanjian menyerahkan kebajikan anak mereka.
“Jika belum berkahwin, hanya tandatangan ibu kandung sahaja yang diperlukan. Harap mereka dapat tampil memudahkan proses ini demi kebaikan kanak-kanak tersebut,” katanya.