LONDON: Luis Suarez mengingatkan rakan sepasukannya di Atletico Madrid supaya berwaspada dengan jentera serangan yang dimiliki Liverpool menjelang pertembungan buat kali kedua dalam saingan Kumpulan B Liga Juara-Juara (UCL) di Anfield, awal pagi esok.
Suarez yang pernah mewakili skuad Reds pada musim 2011-2014 mengakui banyak perubahan dibawa oleh Jurgen Klopp kepada pasukan itu, malah Liverpool cukup berbahaya menerusi jentera serangannya.
Tiga perlawanan terakhir menyaksikan Liverpool telah menjaringkan sembilan gol dan jaringan terbesar adalah ketika menundukkan Manchester United 5-0 di Old Trafford 24 Oktober lalu.
“Tentu saja setiap pasukan memiliki kekuatan dan kelemahan masing-masing. Kami tahu betapa bagusnya Liverpool terutama apabila melakukan serangan balas pantas.
“Kami juga tahu mereka memiliki beberapa kelemahan yang boleh kami manfaatkan untuk mencatat kemenangan di Anfield. Kami perlu fokus dan memanfaatkan peluang yang diperolehi sebaik mungkin,” katanya.
Dalam aksi pertama pertembungan kedua-dua pemain di Wanda Metropolitano menyaksikan kemenangan menjadi milik The Reds menerusi dua jaringan Mohamed Salah dan Naby Keita.
Sepanjang bersama Liverpool, Suarez berjaya mencipta nama sebagai antara penyerang terbaik di Liga Perdana Inggeris (EPL), malah penyerang berusia 34 tahun itu cukup dekat di hati peminat The Reds.
“Suasana yang sangat menakjubkan di Anfield. Liverpool memiliki kekuatan tambahan iaitu penyokong yang memberi sokongan sepanjang minit perlawanan dan ia sudah pasti akan memberi kesukaran kepada kami,” ujarnya.