Suami isteri antara dicekup salah guna dadah di PPR

Suami isteri antara dicekup salah guna dadah

AYOB Khan Mydin Pitchay (dua dari kiri) menyoal salah seorang penagih dadah yang ditangkap dalam Op Sarang Khas di PPR Larkin, Johor Bahru. - FOTO/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pasangan suami isteri antara 46 individu disyaki terlibat dengan penyalahgunaan dadah yang ditahan dalam Op Sarang Khas 1.0 di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) hari ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, operasi yang dijalankan bermula pukul 1 hingga 6 petang itu berjaya menahan kesemua suspek berusia 30 hingga 70 tahun.

Beliau berkata, operasi yang dijalankan di PPR Stulang dan PPR Larkin itu melibatkan 23 pegawai dan 106 anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dan JSJN Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan.

“Dalam serbuan itu, kita berjaya menahan 44 lelaki dan dua wanita termasuk sepasang suami isteri masing-masing berusia 31 tahun.

“Operasi dijalankan bagi mengambil tindakan terhadap penagih dadah tegar, selain membasmi port penagihan di kawasan perumahan ini. 

“Di Johor terdapat 13 PPR membabitkan lapan daerah. Operasi seumpama ini akan dibuat secara berterusan bagi membanteras sarang penagih sekaligus menurunkan kadar jenayah membabitkan penyalahgunaan dadah,” katanya pada sidang akhbar di PPR Lakrin hari ini.

Ayob Khan memberitahu, kebanyakan yang ditangkap itu terlibat dengan dadah jenis Methamphetamine.

Sebelum operasi khas tersebut, Ayob Khan berkata, pihaknya sudah mempunyai senarai penagih yang ditangkap itu selain membuat tangkapan penagih secara rambang di tepi jalan.

“Sebelum ini, polis Johor hanya melakukan Op Sarang biasa pada setiap hari di setiap daerah bagi menahan penagih dadah tetapi julung kali melancarkan operasi khas di dua PPR berkenaan.

“Selain itu, ia juga bertujuan mengambil tindakan undang-undang di bawah kesalahan Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) dan Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya,” ujarnya. 

Ayob berkata, operasi yang bertujuan menangani aktiviti dan membasmi penyalahgunaan dadah khususnya melibatkan penghuni PPR di Johor dan akan diteruskan pada masa hadapan.

“Kita akan tingkatkan tangkapan penagihan dadah. InsyaAllah, kadar jenayah akan menurun terutama kes pecah rumah dan ragut yang membabtikan penagih dadah, bila kita tingkatkan operasi, kadar jenayah juga akan turun,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya