PETALING JAYA: Ketika tuan rumah hanya selangkah untuk menempa sejarah, Stadium Hang Jebat terpaksa bergelap gara-gara terdapat gangguan bekalan elektrik.
Menurut Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), gangguan tersebut menyebabkan aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia melibatkan Melaka United dengan Kuala Lumpur (KL) City itu terpaksa ditangguhkan selama 30 minit.
“Terdapat masalah gangguan bekalan elektrik di Stadium Hang Jebat, Melaka. Pihak TNB (Tenaga Nasional Berhad) sedang dalam usaha membaik pulih.
“Perlawanan Melaka United FC lwn Kuala Lumpur City FC dijangka akan bermula pada jam 9.30 malam,” kata MFL menerusi hantaran di Facebook, sebentar tadi.
Melaka United hanya selangkah untuk melakar sejarah dalam bola sepak negara seandainya dapat menamatkan penantian 100 tahun layak ke final Piala Malaysia.
Sementara itu, KL City kali terakhir berada di pentas akhir kejohanan berprestij itu pada 1989, yang menyaksikan mereka mengesahkan hatrik kejuaraan apabila mengatasi Kedah 2-1.