Skrin besar di Segamat papar aksi JDT lawan KL City - Utusan Malaysia

Skrin besar di Segamat papar aksi JDT lawan KL City

HAB Belia Jalan Kolam Air Daerah Segamat bakal menyediakan layar gergasi kepada penyokong JDT yang tidak berpeluang ke SNBJ.-UTUSAN/FARAHWAHIDA AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEGAMAT: Sebanyak 9,000 keping tiket perlawanan akhir Piala Malaysia antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kuala Lumpur City (KL City) yang habis dijual kepada penyokong negeri ini meresahkan sebahagian peminat sukan itu yang tidak dapat ke Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

Namun, inisiatif diambil beberapa pihak yang menyediakan skrin gergasi bagi menayangkan siarang langsung pertembungan akhir edisi ke-100 itu melegakan mereka walaupun tidak dapat memberi sokongan kepada pasukan kesayangan secara depan mata.

Di daerah ini, Majlis Belia Daerah Segamat antara yang tidak melepaskan peluang untuk membangkitkan aura kemenangan JDT apabila menyediakan layar gergasi di Hab Belia Jalan Kolam Air Daerah Segamat seawal pukul 8 malam.

Pengerusi Majlis Belia Daerah Segamat, Mohd. Faiz Mohamad berkata, mereka bersama-sama Pejabat Daerah, Pejabat Belia dan Sukan Daerah, Pejabat Penerangan Daerah dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan Daerah memahami ketetapan semasa yang tidak membenarkan jumlah penonton ramai di stadium.

“Maka, sudah tentu tujuan utama kita menganjurkan acara ini adalah untuk memberi peluang kepada warga Segamat khususnya merasai kehangatan malam perlawanan akhir Piala Malaysia yang seakan-akan di stadium.

“Malah, dengan wabak Covid-19 yang masih menular dan prosedur kehadiran penonton yang terhad di SNBJ, kita mengambil inisiatif ini bagi penduduk Segamat terus kekal selamat sambil menyaksikan pasukan kegemaran mereka berentap,” katanya.

Disamping tayangan layar gergasi, pelbagai acara sampingan seperti pertandingan tendangan penalti dan cabutan bertuah yang menawarkan hadiah menarik seperti jersi JDT turut dianjurkan selain jualan food truck yang memeriahkan lagi program itu.

SRCC Parlimen Pontian dengan kerjasama Pemuda UMNO Pontian turut menyediakan layar gergasi sempena perlawanan akhir Piala Malaysia antara JDT dan KL City di Pontian, Johor.- UTUSAN/MUHAMMAD ZIKRI

Sementara itu di Pontian, beberapa pertubuhan dan kelab bola sepak tempatan juga mengambil inisiatif sama apabila akan menyediakan layar gergasi sempena perlawanan akhir itu.

Lokasi pertama di pekarangan Dewan Haji Othman, Kampung Parit Kudus dianjurkan oleh PT Kudus FC dengan kerjasama Jawatankuasa Dewan Haji Othman bermula pukul 8.30 malam.

Menurut Timbalan Presiden PT Kudus FC, Mohammad Isa Ami, pihaknya teruja untuk turut sama memeriahkan perlawanan akhir itu dalam misi JDT memburu juara Piala Malaysia buat kali kedua berturut-turut.

“Peminat yang datang juga berpeluang untuk membawa pulang hadiah cabutan bertuah yang disediakan penganjur sambil beramai-ramai menyaksikan perlawanan itu,” katanya.

MOHAMMAD ISA AMI

Satu lagi lokasi tayangan layar gergasi di daerah ini akan diadakan di R&R Simpang Tiga Kayu Ara Pasong yang dianjurkan secara bersama oleh Pemuda UMNO Bahagian Pontian dan SRCC Parlimen Pontian.

Pengerusi SRCC Parlimen Pontian, Muhd. Helmi Buang berkata, pihaknya berharap peminat dapat hadir ke lokasi tayangan lebih awal sebelum sepak mula pada pukul 9 malam.

“Sebagai anak Johor, tentu kita teruja untuk menyaksikan JDT mendakap Piala Malaysia pada usia 100 tahun kejohanan itu malam ini walaupun hanya berpeluang menonton dari jauh,” katanya.

Dalam pada itu, pengusaha kedai makan asam pedas Benut, Md. Diah Ambok Antak berkata, walaupun tidak menyediakan skrin layar gergasi, dia akan menyediakan dua buah televisyen besar di kedainya.

“Setiap kali perlawanan melibatkan JDT memang kedai saya dipenuhi orang ramai yang mahu menyaksikan beramai-ramai tambahan pula tidak boleh ke stadium sebelum ini, jadi seperti biasa pengunjung kena datang awal untuk dapatkan tempat duduk lebih baik seperti di stadium,” katanya yang akan ke SNBJ setelah berjaya membeli tiket secara dalam talian.

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN