Sijil kematian saksi kes rasuah Guan Eng dikemuka di mahkamah - Utusan Malaysia

Sijil kematian saksi kes rasuah Guan Eng dikemuka di mahkamah

LIM GUAN ENG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sijil kematian Pengarah Urusan Kumpulan Ewein Bhd., Datuk Ewe Swee Kheng yang ditemukan maut selepas dilaporkan terjatuh dari kondominium mewah di Pulau Pinang bulan lalu, dikemukakan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Saksi pendakwaan ke-15 itu sepatutnya dipanggil memberi keterangan pada 29 November ini dalam perbicaraan kes rasuah bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berhubung projek terowong dasar laut dan jalan-jalan utama di negeri itu.

Swee Kheng, 53, pernah ditahan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Januari 2018 bagi membantu siasatan kes tersebut.

Sijil kematian dan perakuan di bawah Seksyen 90A(a) Akta Keterangan 1950 itu dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin dan ditandakan sebagai eksibit.

Pernyataan saksi mendiang juga akan dikemukakan kepada mahkamah untuk dimasukkan sebagai bahan bukti keterangan pihak pendakwaan pada perbicaraan akan datang.

Sijil kematian dan perakuan tersebut dikemukakan melalui keterangan saksi pendakwaan ke-10, Penolong Penguasa SPRM, Syed Muhammad Fadzli Syed Hussin pada sesi pemeriksaan utama.

Jelasnya, dokumen itu antara lain menyatakan waktu dan tarikh kematian pada pukul 5.37 pagi, 5 Oktober lalu, lokasi kematian di The Palazzo, Jalan Kelawei, Pulau Pinang manakala sebab kematian ialah kecederaan berganda akibat jatuh daripada tempat yang tinggi.

Syed Muhammad Fadzli berkata, beliau diarah oleh pegawai penyiasat kes untuk mengambil sijil mati bertarikh 13 Oktober lalu dan perakuan tersebut daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Saksi berkata, surat permohonan untuk mendapatkan sijil kematian dihantar pada 20 Oktober lalu dan menerima maklum balas daripada pihak JPN melalui surat bertarikh 22 Oktober.

Sementara itu, peguam Gobind Singh Deo memaklumkan, pengemukaan sijil kematian dan perakuan tersebut sebagai eksibit tidak dibantah oleh pembelaan.

Mahkamah sedang mendengar perbicaraan terhadap Guan Eng atas pertuduhan pindaan menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang RM3.3 juta sebagai tindakan membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli dilantik melaksanakan projek itu yang bernilai RM6.3 bilion.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di antara bulan Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, KOMTAR.

Pada prosiding itu, mahkamah turut mendengar keterangan saksi pendakwaan ke-11, bekas Penasihat Undang-Undang Negeri Pulau Pinang, Datuk Faiza Zulkifli.

Beliau berkata, kerajaan negeri melakukan kesilapan besar kerana tidak betul-betul mengenal pasti butiran mengenai parcel tanah yang akan dipindah milik yang terkandung dalam draf Perjanjian Awalan Bagi Projek Penswastaan Projek Terowong dan Jalan Utama di Pulau Pinang.

Perjanjian bertarikh 29 Oktober 2013 itu ditandatangani di antara Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Consortium Zenith Beijing Urban Construction Group Sdn Bhd (CZBUCG), kemudian dimajukan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) untuk diluluskan.

Jelas beliau, perjanjian awalan itu mengikat pihak-pihak yang menandatanganinya dan menjadi tanggungjawab beliau untuk meneliti dokumen perjanjian bagi memastikan kepentingan kerajaan negeri terpelihara.

Namun, Faiza menyatakan, beliau tidak pernah menerima apa-apa draf perjanjian awal tersebut untuk disemak kerana Ketua Menteri telah bersetuju untuk melantik peguam swasta meneliti dokumen itu, maka tanggung jawab terletak pada bahu firma guaman itu.

Menurutnya, mana-mana perjanjian melibatkan kerajaan negeri dengan salah satu pihak, sepatutnya dirujuk kepada Pejabat Penasihat Undang-Undang negeri untuk semakan bagi memastikan dokumen perjanjian teratur dari segi undang-undang.

Katanya, oleh kerana draf perjanjian awalan itu disediakan oleh pihak luar, beliau bukan dalam kedudukan untuk memberikan sebarang komen terhadap kandungannya.

Selaku Penasihat Undang-Undang negeri yang menganggotai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) sebagai ex-officio, saksi itu berkata, jika dokumen berkenaan diteliti dan disemak, beliau akan memastikan bahawa kesilapan itu tidak berlaku.

Bagaimanapun saksi itu berkata, tidak ada sebarang arahan daripada pejabat Ketua Menteri supaya dokumen itu dihantar ke Pejabat Penasihat Undang-Undang negeri untuk disemak.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung 29 November ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN