BATU GAJAH: Harga ikan siakap di Pulau Pangkor dijual pada harga berpatutan dan tidak timbul isu ia dijual hingga mencecah ribuan ringgit.
Pengerusi Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, harga ikan siakap di pulau bebas cukai itu relevan dan berpatutan.
“Harga ikan siakap di Pulau Pangkor tidaklah mahal, harganya masih relevan dan tidaklah mencecah ribuan ringgit.
“Malah tiada apa-apa aduan daripada pelancong yang bercuti pulau itu harga ikan siakap yang mahal,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita pada Program Jelajah Integriti Pelancongan (JIPS) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2021 di tapak warisan Kapal Korek Tanjung Tualang No. 5 atau TT5 di sini hari ini.
Turut hadir Pengarah SPRM Perak, Datuk Mohd. Fauzi Mohamad; Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd. Manap; Pengarah Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya Perak, Asrul Zakaria dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tourism Perak, Nurmalis Musa.
Baru-baru ini tular dalam media sosial gambar resit menunjukkan sekumpulan individu terpaksa membayar hampir RM1,196 bagi hidangan seekor ikan siakap dengan berat sekitar tujuh kilogram ketika makan di sebuah restoran di Langkawi.
Sementara itu, Nolee berkata, sejak pergerakan rentas negeri dan daerah dibenarkan, bilangan pelancong ke Pangkor sangat menggalakkan.
Menurutnya, semua premis perniagaan di Pangkor kembali menjalankan perniagaan seperti biasa apabila pelancong mula masuk ke pulau itu.
“Kerajaan negeri menyambut baik kedatangan pelancong ke Pangkor dan negeri ini dengan memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Kempen pembelian tiket feri secara dalam talian umpamanya membantu melegakan kesesakan di ruang menunggu di jeti-jeti untuk ke Pangkor,” katanya.