KANGAR : Setiap individu perlu memainkan peranan bagi memastikan alam sekitar sentiasa terpelihara dalam usaha membina masa depan yang lebih baik.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, sikap manusia adalah tunjang dalam memastikan keharmonian alam sekitar dapat dikekalkan demi kelangsungan hidup pada masa hadapan.
“Sesungguhnya, kita adalah khalifah yang akan memimpin perubahan ke arah kelestarian alam sekitar. Kita mampu memainkan peranan sebagai individu untuk memastikan alam sekitar sentiasa terpelihara,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian selepas merasmikan Sambutan Hari Alam Sekitar Negara peringkat negeri Perlis 2021 anjuran Kementerian Alam Sekitar dan Air melalui Jabatan Alam Sekitar Malaysia (JAS) Perlis di Bukit Ayer Resort Sungai Batu Pahat di sini semalam.
Yang turut hadir, Pengarah JAS negeri, Mohamad Fitri Said.
Baginda bertitah, selain sisa sampah daripada makanan atau isi rumah, sisa peralatan elektrik dan elektronik juga perlu diurus dan dilupuskan dengan sempurna bagi mengelak kesan buruk kepada alam sekitar.
Tambah baginda, melalui kempen plastic buster yang dilancarkan di peringkat kebangsaan, JAS turut sama memainkan peranan bersama-sama agensi berwajib yang lain dalam mengurangkan penggunaan plastik sekali guna.
“Ia bukan sahaja menyebabkan lambakan sampah sarap di tapak pelupusan dengan cepat, bahkan berkemungkinan menyebabkan sisa air larut lesap yang menjadi punca pencemaran yang akan menjejaskan sumber air bawah tanah dan juga sungai kita.
“Sewajarnya apabila aktiviti-aktiviti rekreasi, sukan dan sebagainya dibenarkan kembali seperti sekarang, kita lebih menghargai dan menikmati keindahan alam ini dengan memastikan kawalan kendiri ke atas sisa-sisa atau bahan buangan untuk dibawa keluar dari kawasan tersebut,” titah baginda lagi. -UTUSAN ONLINE