Sesat lebih 10 jam, empat guru ditemukan berpelukan - Utusan Malaysia

Sesat lebih 10 jam, empat guru ditemukan berpelukan

EMPAT guru tadika yang sesat di hutan Bukit Panchang, Tinagat di Tawau berjaya diselamatkan pasukan bomba.-IHSAN Bomba
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAWAU: Kegembiraan empat guru tadika meraikan hari jadi dengan melakukan aktiviti mendaki di Bukit Panchang, Tinagat dekat sini bertukar menjadi tragedi apabila mereka tersesat kira-kira 10 jam, di sini semalam.

Keempat-empat guru wanita itu ditemukan berpelukan antara satu sama lain kerana kesejukan akibat hujan.

Mangsa, Sharmila Maksum, 25; Nurzalina Suani,27; Juliana Julasri,25; dan Dayang Noraisyah Faizal,26 diselamatkan oleh pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Tawau kira-kira pukul 10 malam.

Sharmila berkata, mereka mendaki bermula pada pukul 9 pagi dan ketika dalam perjalanan turun pada pukul 12 tengah hari mereka tidak menemukan jalan keluar.

“Sepanjang turun dari puncak kami hanya mengikut tanda tali kuning yang dipasang namun, selepas berjalan hampir empat jam, kami belum menemui jalan keluar.

“Hujan menyukarkan lagi keadaan. Kami berada dalam keadaan kesejukan sementara menunggu bantuan tiba kerana kami berjaya menghantar pesanan Whatsapp kepada rakan lain,” katanya.

Rakan yang menerima pesanan itu kemudian memaklumkan penduduk kampung untuk mendapatkan bantuan awal bagi menunggu ketibaan pasukan JBPM Tawau.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah, Julius John Stphen Jr. berkata, mereka menerima aduan mengenai empat individu sesat dalam hutan kira-kira pukul 8 malam dan sepasukan pegawai dan anggota digerakkan ke lokasi kejadian.

Sebaik sahaja tiba di lokasi, pasukan bomba difahamkan empat mangsa sesat dalam hutan semasa mendaki dan kesemua mangsa ditemukan kira-kira lapan kilometer dari pusat operasi kawalan bomba di kaki Bukit Akar.

“Mereka berjaya dibawa keluar dan tiba di pusat operasi pada pukul 12.34 tengah malam dalam keadaan selamat.

“Walau bagaimanapun seorang mangsa mengalami luka kecil dan diberi rawatan oleh Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS). Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 1 pagi,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya