Sesalan penuntut IPT berkhalwat dalam kereta dengan rakan kuliah

Sesalan penuntut IPT berkhalwat dengan rakan kuliah dalam kereta

SUFIAN (kopiah putih) beramah mesra dengan Muhammad Zulhusni (tengah) dan Mazlina di PPA Baitul Iman MAIS, Ulu Yam, Hulu Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU SELANGOR: Hanya erti penyesalan dirasai seorang penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) apabila dicekup berkhalwat bersama rakan kuliahnya sendiri dua tahun lalu.

Penuntut tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab sebuah IPT di Selangor itu antara sembilan pelatih yang menjalani proses pemulihan di Pusat Pemurnian Akidah (PPA) Baitul Iman Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Ulu Yam di sini.

Anak sulung daripada enam beradik, Sufian (bukan nama sebenar), 24, berkata, dia ditangkap berkhalwat dalam sebuah kereta oleh kariah masjid di kawasan asrama IPT itu sekitar November 2019.

Menurutnya, kejadian pukul 7.30 petang itu menyebabkan dia dan rakan perempuan sebayanya kemudian diarah menjalani pemulihan selama enam bulan bermula Mei lalu.

“Saya mengakui kesilapan itu kerana berdua-duaan dalam kereta dan amat menyesalinya sehingga kini.

“Detik hitam itu menyebabkan saya masih tidak dapat menamatkan pengajian pada waktu sepatutnya pada Mac lalu,” katanya sebak ketika ditemui pada program Ziarah Media di pusat itu, hari ini.

Turut hadir, Ketua Bahagian Pemulihan Al-Riqab MAIS, Muhammad Zulhusni Abdul Rashid dan Penguasa PPA berkenaan, Mazlina Osman.

Tambah Sufian, dia bersyukur proses pemulihannya sejak lima bulan lalu berjalan lancar dan mahu meneruskan kehidupan baharu.

“Baitul Iman sememangnya mengajar banyak perkara kepada saya terutama soal agama dan fardhu ain sekali gus mendekatkan diri kepada Allah. Selain itu, keluarga menjadi pendorong bagi saya untuk terus bangkit dan kembali menamatkan pengajian pada awal bulan depan,” katanya yang bercita-cita menjadi seorang guru agama.

Sementara itu, Muhammad Zulhusni berkata, PPA berkenaan antara tiga pusat pemulihan disediakan pihaknya khas untuk golongan asnaf Al-Riqab.

“MAIS memperuntukkan RM16 juta untuk menyantuni ribuan golongan itu yang dibelenggu masalah seperti sosial, akidah dan penagihan dadah. Peruntukan itu antaranya merangkumi mereka yang memerlukan bantuan pemulihan, perlindungan, rawatan dan pencegahan,” katanya.

Dalam pada itu, program ziarah berkenaan turut melibatkan Pusat Pemulihan Baitul Islah MAIS dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Serendah yang menempatkan seramai 20 penghuni.

Penguasa pusat itu, Fadzirul Akmal Mohd. Sharif memaklumkan kesemua penghuni berusia 27 hingga 61 tahun berkenaan merangkumi asnaf yang menjalani pemulihan penagihan dadah. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya