Sertai program kepimpinan, seorang pelajar UiTM Lendu positif Covid-19 - Utusan Malaysia

Sertai program kepimpinan, seorang pelajar UiTM Lendu positif Covid-19

RUSDI ABD. RAHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Lendu di sini dijangkiti Covid-19 manakala lapan yang lain masih menunggu keputusan ujian saringan RT-PCR selepas menghadiri program kepimpinan didakwa anjuran sebuah parti politik di  sebuah resort di daerah Alor Gajah, minggu lalu.

Pengarah Kesihatan Melaka, Dr. Rusdi Abd. Rahman berkata, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Alor Gajah telah menerima notifikasi daripada Klinik UiTM Lendu berkenaan seorang pelajar didapati positif Covid-19, kelmarin.

Jelasnya, selain itu, lapan orang pelajar lain pula dilaporkan turut mengalami gejala jangkitan salur pernafasan atas (URTI) dan siasatan lanjut dijalankan mendapati, kesemua mereka telah menghadiri satu program kepimpinan pada 3 hingga 7 November lalu.

“Kesemua sembilan pelajar terbabit telah menjalani ujian RT-PCR dan keputusan akan diketahui dalam tempoh terdekat.

“Hasil siasatan, kita dapati pelajar ini telah menghadiri satu program kepimpinan di sebuah resort di sini pada minggu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, secara keseluruhan, sekurang-kurangnya 45 orang pelajar telah menghadiri program tersebut melibatkan beberapa cawangan UiTM di negeri ini.

“Pelajar lain yang menjadi kontak kepada kes disyaki Covid-19 tersebut sedang dikenal pasti untuk diisolasi sebagai langkah awal mengekang penularan jangkitan.

“Beberapa kolej kediaman pelajar di UiTM Lendu juga telah diberikan notis penutupan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit berjangkit 1988 bermula 11 sehingga 20 November ini,” jelasnya.

Tambahnya, siasatan lanjut sedang dijalankan dengan terperinci oleh Jabatan Kesihatan Negeri (JKN).

“Orang ramai yang menjadi kontak rapat kepada mereka disarankan untuk kuarantin kendiri serta menghubungi Bilik Gerakan PKD Alor Gajah di talian 06-5566 390 untuk saringan kesihatan segera.

“Untuk mendapatkan maklumat sahih dan sebarang pertanyaan mengenai perkara tersebut, orang ramai boleh menghubungi Crisis Preparedness and Response Center (CPRC) Melaka di talian 06-2345999 atau melalui e-mel, [email protected],” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya