Seorang dari enam tertuduh rosakkan kenderaan mengaku salah - Utusan Malaysia

Seorang dari enam tertuduh rosakkan kenderaan mengaku salah

SEORANG dari enam tertuduh yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bahau, Jempol hari ini, mengaku bersalah terhadap tuduhan melakukan khianat yang menyebabkan kerosakkan terhadap cermin kenderaan di hadapan Tadika Felda Palong 7, pada 4 November lalu. - UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JEMPOL: Seorang daripada enam orang individu yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bahau di sini hari ini mengaku salah atas pertuduhan melakukan khianat sehingga menyebabkan kerosakan kepada sebuah kenderaan dalam kejadian di Felda Palong 7 di sini pada 4 November lalu.

R. Paramasivam, 32, mengaku salah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Tamil di hadapan Majistret, Muhammad Hidayat Wahab.

Lima lagi tertuduh yang tidak mengaku bersalah ialah R. Logavikineswaran, 24, R. Thenmolly, 31, N. Saraswathy, 50, N. Shelammah, 31 dan J. Haridhas, 37.

Berdasarkan pertuduhan serupa berkenaan, pada 4 November lalu lebih kurang 11.30 pagi bertempat di hadapan Tadika Felda Palong 7, tertuduh bersama lima yang lain telah dengan niat curang melakukan khianat yang menyebabkan kerosakan terhadap cermin sebuah kenderaan Proton Exora.

Kesemua tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 425 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 426 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan kes dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Loqman Hakim Ahmad Khairie manakala semua tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Noor Azizi Abd Aziz.

Ahmad Loqman Hakim kemudiannya memohon hukuman yang setimpal ke atas Paramasivam sebagai pengajaran ke atas tertuduh.

Majistret kemudiannya menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM2,400 ke atas Paramasivam bagi tuduhan berkenaan dan sekiranya gagal menjelaskannya akan berhadapan hukuman tiga bulan penjara.

Enam lagi tertuduh iaitu dua orang lelaki dan tiga perempuan, diberikan jaminan sebanyak RM3,500 dengan seorang penjamin.

Sementara itu, Paramasivam turut berhadapan dengan satu lagi pertuduhan ugutan jenayah sehingga mendatangkan ketakutan kepada dua orang lelaki dan seorang wanita.

Kesalahan berkenaan dilakukan di lokasi, masa dan tarikh yang sama iaitu pada 4 November lebih kurang 11.30 pagi bertempat di hadapan Tadika Felda Palong 7.

Bagi kesalahan berkenaan, Paramasivam telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Paramasivam bagaimanapun tidak mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut dan Majistret kemudiannya memberikan jaminan sebanyak RM2,500 dengan seorang penjamin kepada tertuduh.

Seorang lagi tertuduh Haridhas, turut berhadapan satu lagi pertuduhan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan cedera di bahagian dagu serta mulut seorang lelaki dan cedera pada bahagian kepala serta dada seorang lagi lelaki di lokasi, masa dan tarikh yang sama dengan tuduhan sebelumnya.

Haridhas tidak mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut dan Majistret kemudiannya memberikan jaminan sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin.

Majistret kemudiannya menetapkan 29 November ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Media baru-baru ini melaporkan gara-gara salah faham terlanggar tayar motosikal ketika di rumah ibadat, kenderaan seorang lelaki telah ditendang dan cermin kenderaannya dipecahkan menggunakan batu bata oleh sekumpulan individu di Felda Palong 7, di sini.

Video kejadian tersebut turut tular di media sosial.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN