PETALING JAYA: Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) dan Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) sentiasa prihatin dan sedia memberi kerjasama dalam membantu artis tempatan tidak kira lelaki atau wanita sekiranya menjadi mangsa isu gangguan seksual.
Presiden FDAM, Ahmad Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Mat London berkata, gangguan seksual itu adalah perkara yang tidak asing dalam bidang hiburan.
“Ia adalah perkara biasa terjadi bagi golongan lelaki, tidak kira sama ada individu tersebut merupakan pengarah atau pelakon. Kita biasa melihat peminat mengambil gambar dan video bersama selebriti kegemaran mereka.
“Namun, masalah timbul apabila peminat terlalu obses hingga sanggup melakukan apa sahaja.
“Apa yang menyedihkan kadang-kadang demi memuaskan hati peminat, ada pelakon atau pengarah akan melakukan perkara memuaskan hati peminat termasuklah tidur bersama mereka,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Jelasnya, isu gangguan seksual merupakan isu global dan berlaku tidak kira dalam bidang pekerjaan apa pun.
Kata beliau, sukar untuk masyarakat lari daripada masalah tersebut dan kemungkinan gangguan seksual terjadi apabila mangsa di peras ugut atau istilah popularnya blackmail, jika tidak menunaikan permintaan menyebabkan mangsa trauma dan bimbang akan disebarkan.
Mat London menambah, FDAM sentiasa bekerjasama dengan Seniman bagi menolong mangsa-mangsa yang menghadapi gangguan seksual di set rakaman.
Terdahulu, Mingguan Malaysia melaporkan, kebanyakan mangsa adalah pelakon baharu dan lelaki yang menjadi sasaran untuk memuaskan nafsu pihak tertentu.
Bagaimanapun menurut Presiden Seniman Zed Zaidi, pihaknya kurang mendapat aduan berkenaan gangguan seksual yang berlaku dalam kalangan lelaki.
Namun dia tidak menafikan perkara tersebut memang terjadi dalam kalangan selebriti lelaki tempatan.
“Perkara ini berlaku kerana peluang untuk menerima tawaran pekerjaan dan juga penyalahgunaan kuasa daripada pihak tertentu.
“Pelakon baharu akan menghadapi gangguan atau gangguan seksual ini kerana mereka baharu sahaja mencari tawaran pekerja di dalam filem atau drama. Bagi pihak pengarah pula, mereka boleh memberi cadangan nama kepada produser atau pengarah lain,” katanya.
Tambah Zed Zaidi, mangsa-mangsa boleh membuat laporan kepada Seniman melalui hotline atau di pejabat Seniman. Biro undang-undang Seniman akan membantu mangsa-mangsa untuk membuat laporan polis, penyiasatan dan tindakan seterusnya terhadap isu gangguan seksual itu.
“Kami akan menerima aduan tersebut dan membuat laporan dan siasatan untuk menjadi bahan bukti kepada polis. Kami juga akan memberi nama penyerang tersebut akan disenaraihitamkan dan beri kepada media-media lain,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE