KUALA TERENGGANU: Belum hilang rasa sedih kehilangan adik akibat kebakaran kereta di di Jalan Kuala Terengganu-Kuala Berang di sini semalam, ahli keluarga kepada Mohd. Azizi Jaafar dikejutkan pula dengan pemergian bapanya, pagi ini.
Abangnya, Mohd. Jasmani, 50, berkata, kematian berturut-turut insan tersayang dalam KIRA-KIRA 10 jam itu memberi tamparan kuat kepada mereka sekeluarga.
Katanya, bapanya, Jaafar Abdullah, 76, yang menghidap asma dan buah pinggang menghembuskan nafas terakhir di rumahnya di Kampung Wakaf Mempelam di sini pada pukul 5 pagi.
Menurutnya, ayahnya dibenarkan keluar dari Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) semalam selepas seminggu menerima rawatan.
“Ayah tidak mengetahui tentang kejadian menimpa Mohd. Azizi kerana keadaannya yang tenat dan pagi ini saya tersedar yang dia sudah meninggalkan kami,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di kediamannya, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.05 malam itu, Mohd. Azizi melecur hampir 90 peratus di anggota badannya selepas Perodua Alza dipandunya terbakar ketika dalam perjalanan pulang ke rumah.
Jenazah bapa dan anak itu selamat disemadikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Baharu Kampung Wakaf Mempelam, kira-kira pukul 1.30 petang ini.
Sementara itu, isteri Allahyarham Mohd. Azizi, Roslinda Mohd. Ramzi, 37, berkata, sebelum kejadian suaminya sempat menghantar kiriman audio melalui aplikasi WhatsApp bagi memaklumkan ketibaannya ke rumah bersama ambulans yang membawa bapa mentua.
Namun, dia pelik kerana kenderaan suaminya tidak muncul bersama ambulans itu sebelum dimaklumkan berita sedih tersebut.
“Pada mulanya saya menyangka abang ipar bergurau tetapi setelah diterangkan, saya reda dengan ketentuan Ilahi. Sejak kebelakangan ini sikap arwah berubah kerana sering tergesa-gesa dalam tindakannya.
“Arwah suami bersungguh-sungguh mahu membawa pulang ayah bagi memenuhi permintaan meninggal dunia di rumah. Saya tidak sangka kasih dua beranak itu menyebabkan mereka pergi serentak meninggalkan kami,” kata ibu kepada tiga anak itu. – UTUSAN ONLINE