'Saya tak boleh bayangkan, seterika wap jika kena tangan pun sakit' - Hakim kes bunuh Zulfarhan - Utusan Malaysia

‘Saya tak boleh bayangkan, seterika wap jika kena tangan pun sakit’ – Hakim kes bunuh Zulfarhan

AZMAN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azman Abdullah menyifatkan kesemua tertuduh yang disabitkan atas kesalahan mencederakan Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Zulfarhan Osman Zulkarnain sebagai pesalah muda yang tidak mempunyai belas kasihan.

Beliau yang turut kesal dan sedih dengan kejadian yang menimpa Zulfarhan berkata, hukuman perlu dijatuhkan untuk memperlihatkan keperitan yang ditanggung oleh keluarga mangsa yang tidak mungkin dapat dipulihkan.

“Saya tidak boleh bayangkan, seterika wap jika kena tangan pun memang sakit. Kalau kena bahagian yang sensitif, saya tidak tahu bagaimana hendak kategorikan pelaku sedemikian,” jelasnya sebelum menjatuhkan hukuman terhadap kesemua 18 tertuduh dalam kes itu.

Menurut beliau, kejadian jenayah tersebut boleh dielakkan sebaliknya ia menjurus kepada tindakan yang tidak berfaedah kepada semua pihak termasuk keluarga mangsa.

Hakim Azman berkata, para penuntut yang ketika itu berusia 21 tahun sepatutnya menyedari bahawa tindakan mereka memberi kesan kepada ahli keluarga masing-masing.

“Walaupun kita nampak pengecut, tidak mengapa demi ibu bapa walaupun setiap orang ada peluang untuk tunjuk lagak. Jangan fikir kawan tetapi fikirkan ibu bapa,” pesan beliau.

Sebelum hukuman dijatuhkan, para peguam bela memohon mahkamah mempertimbangkan latar belakang anak guam mereka yang merupakan penuntut cemerlang sejak alam persekolahan.

Pasukan peguam bela menghujahkan, laporan akhlak daripada pihak penjara menunjukkan mereka berusaha memperbaiki diri ketika dalam tahanan manakala tempoh pemenjaraan yang panjang tidak sesuai.

Mahkamah turut diberitahu, tertuduh-tertuduh yang sebelum ini digantung oleh UPNM, tidak dapat menyambung pengajian kerana sabitan jenayah selain perlu membayar balik yuran kerana gagal menamatkan pengajian.

Sementara itu, pihak pendakwaan memohon mahkamah tidak bertolak ansur dengan perbuatan tertuduh-tertuduh kerana walaupun mangsa tidak mengaku mencuri komputer riba dan menjerit supaya tidak ditekap dengan seterika wap, mereka tidak mengendahkan rayuannya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN